INGIN MELIHAT TUHAN

Hadis, dari Abdullah bin Syaqiq, katanya,

"Kataku kepada Abu Zar : Sekiranya saya berjumpa dengan Rasulullah SAW nescaya ku tanyakan kepada beliau suatu soalan. Kata Abu Zar : "Tentang apa..?" Jawab Abdullah : "Apakah tuan melihat Allah..?" Kata Abu Zar : "Itu pernah ku tanyakan kepada baginda, dan dijawabnya : "Saya hanya melihat sinar (nur)"
(HR Muslim)


Huraian

Masuk syurga itu adalah nikmat yang teramat besar. Namun, kenikmatan syurga tiada sebanding dengan nikmat menatap wajah Allah secara langsung. Itulah puncak dari segala puncak kenikmatan dan kebahagiaan. Rasulullah SAW sendiri menjanjikan hal ini dan baginda pernah menyebut bahawa umatnya akan dapat melihat Allah SWT di hari akhirat kelak. 


Tentang melihat Allah ini, Allah SWT berfirman mengisahkan permintaan Musa untuk melihatNya,


"Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka nabi Musa (merayu dengan) berkata : "Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku (DzatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu."


Allah berfirman,

"Kamu sekali-kali tidak sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka jika ia tetap berada di tempatnya (sebagaimana sediakala) nescaya kamu dapat melihatKu."


Setelah Allah 'Tajalla' (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) 'Tajallinya' menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula berkatalah ia,


"Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada Engkau dan akulah orang pertama beriman (pada zamanku)"
(Al-A'raf : 143)


Maha Suci Allah Yang Maha Berkuasa, tiada daya sekalian makhluk melainkan dengan keizinan dan rahmatNya jua.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...