BUKAN JALAN KARPET MERAH

Wajah Arif kelihatan sugul dan muram. Tidak ceria seperti selalu, manis dengan senyuman, bersemangat dalam setiap ucapannya. Pandangannya yang selalunya kelihatan teguh kini hanya terlihat lemah. Nampaknya dia sedang memikul beban yang cukup berat dalam jiwanya. Beban perasaan yang mengusir sifat cerianya. Beban yang membuatkan dia berasa derita. Tertekan.


"Kau ada apa-apa masalah kah..?" Tanya ku dengan nada suara ingin tahu.


Tadi Arif yang menghubungiku melalui SMS. Katanya ingin berjumpa di Restoran Impian Rasa. Ada perkara penting yang ingin dibincangkannya. Namun begitu, sudah beberapa minit berlalu. Teh tarik di atas meja, yang dipesannya tadi masih belum terusik.


"Ah, aku rasa berat sangat." Keluh Arif. 


Suara Arif kedengaran mendatar, dibayangi kekecewaan.


"Aku tak tahulah macam mana nak hadapi semua ini."


"Kenapa kau putus cinta kah..? Hehehe.." Tanya ku sambil ketawa kecil. 


Sebenarnya Arif tidak ada kekasih atau teman wanita, tapi aku sengaja berjenaka bertanya soalan sedemikian rupa. Arif tiada teman wanita bukan kerana dia tiada peminat atau tidak laku. Ada. Setakat ini sudah ada beberapa orang perempuan meluahkan perasaan cinta kepadanya, tetapi semuanya ditolak atas alasan ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran. Itulah tanggungjawab seorang pelajar. Lagi pun tidak lama lagi, Arif bakal menduduki peperiksaan STPM.


"Eh, tak adalah." Sanggah Arif. 


"Bila masa aku bercinta. Tak pernah-pernah pun."


"Habis tu, kalau bukan putus cinta, apa masalah yang berat sangat kau cakap tu." 


Aku cuba mengorek rahsia sebab dia bermuram semenjak tadi.


"Cuba kau luahkan kepada aku. Mana tahu aku boleh tolong kau."


"Macam ni," Arif mengatur pernafasannya. 


"Aku cuba sampaikan di kampung aku, tentang apa yang kita belajar daripada Ustaz Fakhruddin. Mengenai adat yang bercanggah dengan agama, kenduri arwah, amalan timbang anak yang lahir pada bulan safar, menggantung tangkal dan sebagainya."


"Tapi masalahnya, bila aku cuba sampaikan kepada mereka tentang perkara ini, mereka tolak kata-kata aku. Mereka kata aku ni, masih muda, belum banyak makan garam, dan macam-macam lagi."


Aku cuba memberikan sepenuh perhatian kepada kata-kata Arif.


"Lebih malang lagi, bukan setakat penduduk kampung, dan jiran-jiran aku yang tolak. Keluarga aku sendiri pun tidak percaya dengan aku, melainkan abang aku seorang saja." Kata Arif dengan nada kecewa.


Kampung Selayang, tempat tinggal Arif sememangnya cukup terkenal dengan kekuatan adat resamnya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Kebanyakan penduduknya kuat berpegang teguh dengan adat. Bak kata pepatah, biar mati anak, jangan mati adat.


Oleh itu, apabila Arif cuba menjelaskan kepada orang di sekelilingnya tentang adat-adat mereka yang bercanggah dengan syariat Islam, maka mereka menolak perkataannya. Apatah lagi, Arif cuma seorang anak muda yang masih belajar dalam tingkatan 6. Tidak mudah bagi orang kampung untuk mempercayainya.


"Macam tu, apa diorang kata lagi..?"


"Banyak. Aku dengar orang mengumpat aku. Orang cakap aku ni memandai-mandai nak cakap perkara agama, lupa asal-usul bangsa la." Luah Arif lagi. 


"Hati mana yang tak berat dikata macam tu."


Arif mencapai teh tarik yang semakin sejuk di atas meja, dihirupnya perlahan-lahan. Sekali sekala dia menarik nafas yang bernada keluhan.


Aku terdiam mendengar luahannya. Cuba berfikir apa yang patut ku cakapkan kepadanya. Sememangnya perkara yang menimpanya bukanlah semudah di anggap. Meskipun orang di sekelilingnya tidak memukulnya, tapi kata-kata orang itu sebenarnya sering kali lebih menyakitkan daripada pukulan. Bak kata pepatah, tikaman lidah itu lebih tajam daripada tikaman pisau. Tikaman pisau, akibatnya berdarah jasad, sedangkan tikaman lidah, hati merana.


"Biasalah tu Arif." Aku cuba memberikan semangat kepadanya. 


"Tidak mudah untuk orang terima apa yang kita kata. Lebih-lebih lagi dengan usia kita yang muda macam ini. Begitu ramai orang yang akan pertikai apa yang kita sampaikan."


Arif mengangguk tanda mengiyakan kata-kata ku, lalu bersuara, 


"Ya, aku faham. Kebanyakan orang zaman sekarang suka sangat melihat siapa yang berkata-kata untuk menilai ucapannya. Kalau orang tua bercakap semuanya 'ya', bimbang dikatakan derhaka. Sebaliknya, kalau orang muda pula yang berkata, hampir semuanya tidak mahu di dengar..!"


"Begitulah silapnya masyarakat sekarang. Terlalu bersikap berat sebelah." 


Aku mengkritik sikap sesetengah orang dalam masyarakat yang suka menolak dan menerima kata-kata orang tanpa usul periksa. Mereka cuma mendengar kata-kata orang tua, sedangkan kata-kata orang muda dipandang sebelah mata saja.


"Inilah tabiat jalan dakwah ya Arif." Aku berkata lagi. 


"Jalan dakwah bukanlah seperti apa yang kita sangka. Ianya bukan jalan yang mudah dan senang. Bukan pula seperti jalan di karpert merah yang ditaburi bunga-bungaan, yang disambut oleh ramai orang dengan sorakan. Tapi inilah jalan para nabi dan rasul. Jalan yang penuh ujian dan dugaan."


Arif tersenyum mendengar kata-kataku. Kekecewaan dan kesugulan pada wajahnya hilang sedikit demi sedikit. Aku menambah lagi, 


"Dahulu Nabi Muhammad SAW dan para sahabat mendapat ujian yang lebih teruk daripada kita. Kalau kita hari ini cuma ditentang dengan kata-kata. Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dahulu, bukan setakat ditentang dengan kata-kata, malah musuh-musuh mereka menghunus senjata. Ahli keluarga sendiri, sanggup dibunuh, asalkan Islam dapat dihapuskan..!"


"Kebanyakan ketua penentang dakwah Rasulullah SAW terdiri daripada ahli keluarga baginda SAW sendiri. Abu Jahal pernah suatu ketika memberikan tawaran yang amat lumayan bagi sesiapa yang dapat membunuh Rasulullah SAW..!"


Aku cuba memberikan perbandingan antara ujian, tentangan dan dugaan yang kami hadapi dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dan para sahabat ketika zaman awal permulaan Islam. Cukup jauh berbeza. Umpama langit dan bumi.


"Benarlah kata mu ya sahabat..!" 


"Bersabarlah Arif." Nasihatku agar dia bertahan dengan apa yang dilaluinya.


"Mungkin sekarang ini, mereka tidak dapat terima apa yang kau sampaikan kepada mereka. Tapi, insya' Allah pada masa depan akan ada antara mereka yang dapat terima kata-kata kau tu."

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...