1. Tudung itu menutupi seluruh kepala termasuk leher, kecuali kawasan muka. Bukanlah cara bertudung yang betul menurut syara‘ jika masih menampakkan rambut, leher, tengkuk, telinga, bahagian dada dan seumpamanya. Firman Allah SWT,
"Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.."(An-Nur : 31)
Belahan baju itu letaknya di kawasan dada. Oleh yang demikian, tudung kepala itu hendaklah juga menutup atau menyembunyikan bahagian dada.
2. Tudung itu diperbuat daripada kain atau bahan yang tebal yang menutupi warna kulit dan rambut dari kelihatan. Bukan tudung yang jarang, nipis atau berlubang-lubang sehingga boleh menampakkan warna kulit atau anggota aurat yang lain.
Antara Ciri-Ciri Pakaian Yang Dilarang Oleh Syara'
Selain daripada ciri menutup aurat, pakaian wanita yang dituntut oleh syara[ hendaklah juga bukan pakaian yang khusus dipakai oleh kaum lelaki sahaja, umpamanya pakaian cara Melayu dan baju kemeja. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah pun memberi peringatan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya,
"Bahawa Rasulullah SAW melaknat lelaki yang memakai pakaian (cara) perempuan dan (melaknat) perempuan yang memakai pakaian (cara) lelaki."(Hadis Riwayat Abu Daud)
Ada pun maksud laknat itu ialah seseorang itu jauh dari rahmat dan belas kasihan Allah Ta'ala. Bila Allah Ta'ala dan Rasulullah SAW melaknat ke atas seseorang itu, maka menunjukkan orang itu telah membuat suatu dosa besar dan menjadikannya seorang fasiq.
Pakaian yang dituntut oleh syara' juga ialah pakaian yang bukan dipakai untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk, kerana memakai pakaian dengan tujuan sedemikian adalah dilarang dalam Islam sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
"Barangsiapa yang memakai pakaian yang megah ketika di dunia, maka Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada hari Qiamat, kemudian dinyalakan api di dalamnya (pakaian tersebut)"(Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Kesedaran tentang tanggungjawab menutup aurat perlu bermula dari individu itu sendiri. Untuk menyuntik kesedaran ini, perlu ada kefahaman tentang maksud sebenar-benarnya menutup aurat. Apabila kaum wanita memahami maksud sebenarnya menutup aurat sebagai satu bentuk ketaatan kepada Allah SWT dan juga satu nikmat yang wajib disyukuri dan dipelihara, mereka tidak akan bersikap mencuai-cuaikan dan menangguhnangguhkan kewajipan ini atau memilih-milih waktu dan tempat untuk melaksanakannya.
Sebaliknya mereka akan istiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dengan memenuhi ciri-ciri pakaian sebagaimana yang dituntut oleh syara'. Termasuk dalam misi perlaksanaan perintah menutup aurat ini, para ibu-bapa, suami dan keluarga mesti turut berperanan malah bertanggungjawab untuk mendidik, membimbing dan menasihati anak, isteri, ibu dan anggota keluarga yang lain supaya sentiasa melaksanakannya. Firman Allah SWT,
"Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat."(Asy-Syu'ara : 214)
Tanggungjawab dan kewajipan menyuruh menutup aurat itu tidak terkecuali digalas juga oleh ahli masyarakat. Sikap tegur-menegur dan saling menasihati adalah tuntutan agama Islam. Maka setiap seorang daripada kita juga bertanggungjawab dalam sama-sama menjauhkan perkara-perkara dosa dan maksiat. Perkara ini berdasarkan kepada firman Allah SWT,
"Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."(Al-Ma'idah : 2)
Dengan kesedaran wanita muslimah kita tentang tanggungjawabnya dalam menunaikan kewajipan menutup aurat serta peranan yang dimainkan oleh semua pihak, akan terbentuklah masyarakat yang berpakaian benar-benar menepati kehendak syara'
3 comments:
setuju sgt~ tp tak ramai yg pakai tudung dgn cara yg di suruh Allah~
@fiQ'Raermm, betul tu.. jadi, kite kene saling nasihat-menasihati.. :)
smua yg dprkatakn d dlm blog ni smuanye bnar2 blaka....
tpi x rmai pn yg nk follow prkara yg baik!!!