Ingin saya paparkan peristiwa yang menimpa diri saya untuk tatapan anda sekalian. Moga dapat dijadikan teladan sepanjang hidup dan dijadikan iktibar, khasnya bagi para isteri solehah sekalian. Untuk pengetahuan semua, di kalangan sahabat-sahabat dan saudara-mara, saya dianggap sebagai seorang isteri yang baik. Tapi keterlaluan jika dikatakan saya menjadi contoh teladan seorang isteri bekerjaya yang begitu taat berbakti kepada suami. Walaubagaimana penat dan sibuknya sekalipun saya, urusan rumahtangga seperti melayan suami dan menguruskan anak-anak tidak pernah saya abaikan.
Kami dianggap pasangan romantik. Suami saya seorang lelaki yang amat memahami jiwa saya, berlemah-lembut terhadap keluarga, ringan tulang, untuk sama-sama menguruskan rumah bila pulang dari kerja dan lain-lain sifat baik ada pada dirinya. Waktu solat dan waktu makan malam merupakan waktu terbaik untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan solat berjemaah dan makan bersama. Pada waktu inilah biasanya suami saya akan memberi tazkirah dan peringatan kepada kami agar menjadi hamba yang bertaqwa.
Dari sudut layanan seorang isteri terhadap suami, saya amat memahami akan kewajipan yang harus saya tunaikan. Itulah peranan asas seorang isteri terhadap suaminya. Allah menciptakan Hawa semata-mata untuk melayan Adam dan menghiburkannya. Meskipun syurga dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan, namun tidak mampu mengisi jiwa Adam yang kosong melainkan dengan diciptakan Hawa.
Oleh itu, saya menganggap tugas mengurus rumahtangga, mengurus anak-anak dan bekerja di pejabat adalah tugas nombor dua setelah tugas pertama dan utama, iaitu melayani suami. Sebagai seorang yang juga sibuk di pajabat, adakalanya rasa penat dan letih menghambat sehingga saya pulang ke rumah.
Tapi saya bersyukur kerana suami amat memahaminya. Berkat tolong menolong dan bertolak ansur, hal tersebut tidak pernah menjadi masalah dalam rumahtangga kami. Bahkan, ia menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain kerana masing-masing dapat menerimanya dan mengorbankan kepentingan masing-masing.
Sehinggalah tiba pada suatu hari yang mana pada hari itu datang ketentuan Allah SWT yang tidak dapat diubah oleh sesiapupun. Hari itu merupakan hari bekerja, agenda saya di pejabat amat sibuk. Bertemu dengan beberapa orang pelanggan dan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu disiapkan pada hari itu juga. Pukul lima petang saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah, penat dan letih tak dapat digambarkan.
Apabila sampai di rumah, saya lihat suami telah pulang dari pejabat. Dia telah membersihkan diri dan sedang melayan anak-anak, bermain dan bergurau senda. Dia kelihatan sungguh gembira pada petang itu. Saya begitu terhibur melihat telatah mereka, kerana suasana seperti itu jarang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah, masing-masing penat.
Suami sedar saya amat penat pada hari itu, oleh itu dia meminta saya agar tidak memasak. Sebaliknya dia mencadangkan agar kami makan di sebuah restoran makanan laut di pinggir bandar pada malam itu. Dengan senang saya dan anak-anak menyetujuinya. Kami pulang ke rumah agak lewat, kira-kira jam sebelas malam. Apa tidaknya, kami berbual panjang ketika makan, bergurau senda dan usik mengusik, seperti tiada lagi hari esok. Selain anak-anak, suami sayalah orang yang kelihatan paling gembira dan paling banyak modal untuk dicakapkan pada malam itu.
Hampir jam dua belas malam barulah masing-masing merebahkan diri di katil. Anak-anak yang kekenyangan segera mengantuk dan lelap. Saya pun hendak melelapkan mata, tapi belaian lembut tangan suami mengingatkan saya agar tidak tidur lagi. Saya cuba gagahkan diri melayaninya, tapi hati saya hanya separuh saja yang jaga, separah lagi tidur. Akhirnya saya berkata kepadanya sebaik dan selembut mungkin,
"Abang, Zee terlalu penat la"
Lalu menciumnya dan memberi salam sebagai ucapan terakhir sebelum tidur. Sebaliknya, suami saya terus merangkul tubuh saya. Dia berbisik kepada saya bahawa itu adalah permintaan terakhirnya. Namun kata-katanya itu tidak meresap ke dalam hati saya kerana saya telah berada di alam mimpi. Suami saya perlahan-lahan melepaskan rangkulannya.
Keesokannya di pejabat, perasaan saya agak tidak menentu, seperti ada perkara yang tidak selesai. Saya menelefon suami, tapi tak berjawab. Sehinggalah saya dapat penggilan yang tidak dijangka sama sekali, panggilan dari pihak polis yang menyatakan suami saya terlibat dalam kemalangan dan saya dikehendaki datang segera ke hospital.
Saya bergegas ke hospital, tapi segalanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami saya dan saya tidak sempat bertemunya. Meskipun redha dengan pemergiannya, namun perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis dari hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir kehidupannya di dunia ini dan di sisi saya.
Hakikatnya, itulah pahala terakhir untuk saya sebagai seorang isteri, dan yang lebih saya takuti sekiranya dia tidak redha terhadap saya pada malam itu dan saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf daripadanya. Sabda Rasulullah SAW,
"Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, tiada seorang suami yang mengajak isterinya tidur, tiba-tiba ditolak oleh si isteri, maka Malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu sehinggalah dimaafkan oleh suaminya"
Sehingga kini, setiap kali saya terkenang kepada arwah suami saya, air mata saya tetap akan mengalir ke pipi. Saya akan bermunajat dan memohon keampunan daripada Allah. Hanya satu cara saya fikirkan untuk menebus dosa saya itu, iaitu dengan mendidik anak-anak agar menjadi mukmin yang sejati. Agar pahala amalam mereka akan mengalir kepada ayah mereka, suami saya. Hanya itulah khidmat yang dapat saya berikan sebagai isterinya. Itulah harapan saya, semoga Allah memperkenankannya.. Amin..
2 comments:
Ni cerite betul kew?
@Saye PatrickRekaan a.k.a cerpen aje.. :) Terima kasih kerana sudi singgah.. :D