'SAYA TIDAK TAHU'

Teringat akan pengalamanku ketika Form 6 dahulu, perkara ini terjadi selepas aku menjadi imam terawih di masjid kawasan Kok Lanas. Selepas tamat solat terawih pada malam itu ada seorang makmum bertanya kepadaku,


"Tak salah ke kalau baca Surah Al-Fatihah ketika imam juga baca Al-Fatihah..?" 


Fuh..! terkial-kial aku nak fikirkan jawapan untuk soalan makmum tersebut, itulah kali pertama aku ditanya dengan soalan furu' macam tu. Memang pening aku dibuatnya ketika itu tetapi aku buat-buat seolah-olah aku tahu jawapannya. Tanpa jawapan yang sohih aku terus menjawab,


"Mana boleh mak cik.."


Ketika aku menjawab soalan tersebut, aku cuma terfikir bahawa jika aku menjawab tidak tahu, sudah tentu makmum-makmum lain akan mengatakan,


"Apa la dia ni, soalan macam tu tak leh nak jawab, tak payah jadi imam la."


Sehingga ke hari ini aku rasa bersalah kepada makmum tersebut, sepatutnya aku terus jawab,


 "Maaf makcik saya tidak tahu. Makcik cuba tanya pada orang yang lebih arif ye.."


Selepas kejadian tu barulah aku study betul-betul tentang pembacaan Al-Fatihah dalam solat. Rasa bersalah tersebut timbul bukan kerana aku menjawab soalan tu secara hipokrit dan ego sahaja tetapi aku sepatutnya perlu mendahulukan dengan jawapan yang nyata kemudian disusuli dengan anjuran supaya menumpukan prioriti semasa.


Sebenarnya terdapat banyak pendapat tentang pembacaan Al-Fatihah ke atas makmum, aku juga tidak menyangka bahawa jawapan yang aku berikan kepada makcik tersebut ada di dalam satu pendapat jumhur ulama' bahawa para makmum perlu diam ketika imam membaca Al-Fatihah dan surah-surah lain.


Ada juga di kalangan 'ustaz' yang kelihatan seperti sering mengelak daripada diajukan soalan furu'. Ingin ditekankan di sini walaupun kita berpendirian serius menumpukan terhadap perkara usul, tidak bermakna kita boleh melepaskan diri daripada menjawab soalan-soalan furu' yang ditanya oleh masyarakat. Sudah menjadi tanggungjawab seorang ustaz untuk merungkaikan soalan yang diajukan oleh masyarakat.


Jangan disebabkan kita tidak tahu menjawabnya, kita terus mengelak daripada disoal. Hal ini akan menjauhkan kita dengan mad'u dan mengundang pertikaian masyarakat. Imam Al-Muhasibi menegaskan,

"Janganlah malu apabila ditanya tentang perkara yang tidak diketahui agar mengaku "Saya tidak tahu."(1)


Imam Al-Munawi pula menegaskan,

"Jawapan 'saya tidak tahu' bukti betapa hebatnya kedudukan, betapa kuatnya pegangan agama, terzahir sifat taqwa terhadap Tuhannya, menyatakan kesucian hati, sempurna pengetahuan dan betapa tulus niatnya."(2)


Pengakuan 'saya tidak tahu' bukannya akan merendahkan martabat seseorang, sebaliknya ia adalah sifat terpuji dan bukti memelihara amanah terhadap ilmu. Elakkan dari sifat apabila tidak tahu dibalas dengan jawapan sesuka hati tanpa diketahui sejauh mana kebenarannya semata-mata untuk menjaga air muka. Diriwayatkan dari Ibnu Abdil Barr di dalam Jami' Bayan Al-Ilmi Wa Fadlih sesungguhnya ulama' berkata,

"Belajarlah untuk berkata saya tidak tahu, sesungguhnya jika engkau. berkata sedemikian, orang pasti mengajar engkau sehingga engkau tahu. Sebaliknya jika engkau sentiasa mengaku dengan berkata saya tahu, nescaya mereka akan bertanya sehingga engkau tidak tahu."


Imam Malik turut berpesan,

"Tirai bagi orang berilmu adalah dengan berkata 'tidak tahu', kerana apabila dia terlupa, jawapan sedemikian pasti akan membenarkan soalan."(3)


Ibnu Abbas pernah bertanya kepada sahabat-sahabatnya,

"Adakah kalian semua mahu agar aku tunjukkan sesuatu ilmu yang besar..?"


Mereka menjawab,

"Sudah tentu."


Ibnu Abbas berkata,

"Apabila seseorang ditanya akan perkara yang dia tidak tahu, maka dia berkata Allah SWT dan RasulNya yang lebih mengetahui." (4)


Kesimpulannya, seorang pengajar bertanggungjawab terhadap pelajarnya. Ilmu merupakan amanah besar yang diberikan oleh Allah SWT. Tanggungjawab kita apabila mengetahui sesuatu perkara agar menjawab dengan cermat. Namun bagi orang yang bertanya juga perlu memahami bahawa semua orang yang alim tidak semestinya ilmunya meliputi seluruh perkara. Orang yang alim tidak akan lari dari resam seorang manusia, ada yang dia ketahui dan ada yang tidak diketahuinya. Justeru, jangan mudah memperlekeh atau mempertikai seseorang yang menjawab dengan jawapan "SAYA TIDAK TAHU".


Rujukan :

  1. Risalah Al-Mustarsyidin, M/S 82
  2. Faidh Al-Qadir, Jilid 4, M/S 500 Syarah Athar
  3. Imam Al-Zahabi, Siar A'lam Al-Nubala', Jilid 3 M/S 3152
  4. Imam Suyuthi, Adab Al-Fatya M/S 85

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...