KISAH INSAN BERTAQWA

Ajaran-ajaran mengenai taqwa yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran dan Hadis serta kepentingannya sudah tentu tidak dapat diragui. Tanpa taqwa segala kejayaan batiniah sudah pasti tidak tercapai. Dalam sebuah hadisnya, Nabi SAW berkata,

"Perasaan takutkan Allah merupakan sumber kebijaksanaan."


Ibnu Umar sering menangis kerana takutkan Allah sehingga matanya buta. Katanya kepada seorang yang memerhatikannya,


"Agaknya kamu hairan melihat aku menangis..? Matahari pun menangis kerana takutkan Allah"


Pada suatu hari Nabi SAW telah melalui seorang sahabatnya yang sedang membaca Al-Quran. Apabila si pembaca tadi sampai ke ayat yang berbunyi yang bermaksud,

"Maka apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar seperti (kilapan) minyak"
(Ar Rahman : 37)


Bulu roma si pembaca itu berdiri tegak dan dia menangis tersedu-sedu sambil bertanya,


"Aduh, apakah yang akan berlaku pada diriku apabila langit terbelah..? Malang sungguh nasibku ini"


Nabi SAW berkata padanya,

"Tangisanmu telah menyebabkan para malaikat menangis bersama-sama"


Jawapan yang sama telah diberi oleh Nabi kepada seorang Ansar yang duduk menangis selepas menunaikan sembahyang Tahajjudnya.


Abdullah bin Rawahah telah menangis pada suatu hari. Isterinya melihat keadaanya turut menangis bersama-sama. Dia bertanya kepada isterinya itu, 


"Mengapa kamu menangis..?"


Jawab isterinya,

"Apa yang menyebabkan engkau menangis itulah yang menyebabkan aku menangis" 


Kata Abdullah,


"Apabila aku teringat yang aku terpaksa menyeberangi neraka melalui Titi Sirat, aku menangis. Aku tidak tahu sama ada aku akan berjaya menyeberanginya atau tidak"


Pada suatu ketika Zurarah bin Aun sedang bersembahyang di Masjid. Apabila ia membaca ayat berikut yang bermaksud,

"Maka apabila ditiup sangkakala, maka yang demikian itu adalah waktu yang sulit"
(Al Muddasir : 8 - 9) 


Dia jatuh lalu meninggal dunia.


Dalam satu solatnya, Khulaid RA dalam qiraatnya telah membaca ayat,

"Tiap jiwa pasti akan merasai maut"
(Al-Ankabut : 57) 


Dia telah mengulangi ayat itu beberapa kali. Tiba-tiba terdengar suara orang mengatakan kepadanya,


"Berapa kali mesti kamu ulangi ayat itu..? Bacaanmu telah pun menyebabkan kematian empat jin"


Dengarlah kata Nabi SAW dan para sahabatnya mengenai perasaan takut akan Allah. Nabi SAW,

"Segala-galanya takut akan orang yang takutkan Allah. Sebaliknya segala-galanya menjadi sumber ketakutan kepada orang yang takutkan sesuatu selain dari Allah"


Yahya bin Ma'az,


"Seandainya seorang mukmin itu takutkan neraka sebanyak ia takutkan kemiskinan, ia akan memasuki syurga"


Abu Sulaiman Darani,


"Kecelakaan bagi jiwa yang kosong dengan perasaan takut kepada Allah"


Nabi SAW,

"Wajah yang dibasahi air mata kerana takutkan Allah walau bagaimana sedikit pun air mata itu, terselamat dari api neraka"


Nabi SAW,

"Apabila seorang Muslim menggeletar kerana takutkan Allah, gugurlah dosa-dosanya sebagaimana daun-daun kering berguguran"


Aqbah bin Amir berkata kepada Nabi SAW,


"Tunjukkan daku jalan ke arah keselamatan"


Jawab Nabi,

"Jangan banyak bercakap dan tinggallah di rumah sambil menangis mengenangkan dosa-dosamu"

Aishah RA telah bertanya kepada Nabi,


"Adakah di antara pengikut-pengikutmu yang akan memasuki syurga tanpa perhitungan..?"


"Ya" Jawab Nabi


"Dia adalah orang yang banyak menangis kerana menyesali dosa-dosa yang telah ia lakukan"



Nabi SAW,

"Ada dua jenis titisan yang sangat-sangat dihargai Allah. Titisan air mata kerana takutkanNya dan titisan darah yang ditumpahkan kerana berjuang dijalanNya"


Mengikut sebuah Hadis ada tujuh jenis manusia yang dapat melindungi diri di bawah naungan A’rash. Salah seorang daripada mereka itu ialah orang yang menangis apabila berseorangan kerana takutkan Allah dan kerana menyesali dosa-dosanya yang telah lampau.


Umar RA berkata,


"Kalau pada Hari Perhitungan diisytiharkan yang semua manusia kecuali seorang sahaja akan memasuki neraka, sudah tentu dosa-dosaku akan menyebabkan aku menyangka yang si malang itu ialah aku sendiri. Sebaliknya, kalau diisytiharkan yang semua manusia kecuali seorang sahaja yang akan memasuki syurga, sudah tentu aku akan berharap yang orang yang menjadi pilihan Allah itu ialah aku sendiri"


Kisah Umar RA di atas menunjukkan berapa perlunya perasaan takut bercampur dengan harapan ini terselit di hati umat Islam yang inginkan kebahagiaan ukhrawi. Bila menghadapi maut pula harapan akan rahmat Allah sepatutnya melebihi perasaan takut tadi. Kata Nabi SAW,

"Tidak seorang pun yang sepatutnya mati tanpa harapan yang kuat akan rahmat Allah"

Apabila Imam Ahmad bin Hambal sedang menghadapi maut, dia menggesakan anaknya supaya membaca hadis-hadis Nabi yang matan-matannya menekankan tentang perlunya ada harapan akan rahmat Allah.



Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...