TIADA KAMI ATAU ANDA, CUMA KITA



"Kami tewas. Orang ketiga yang patut dipersalahkan, bukan kami..! Kami cuma manusia, kami punya nafsu, dan nafsu itu fitrah. Jadi mengapa salahkan kami..?"


"Allah telah jadikan manusia penuh dengan perasaan cinta dan kasih sayang. Kami juga punya hati..! Kami ingin rasa dicintai. Kami ingin rasa mencintai orang lain, jadi mengapa salahkan kami..?" 


"Kami tahu ini salah. Apa anda semua ingat kami tak terpelajar..? Kami tak punya ilmu agama..? Bila anda tahu dua, tiga hadis dan hafal beberapa potong ayat Quran, anda lebih baik dari kami..?" 


"Memang kami menurut nafsu. Memang kami pelaku maksiat. Memang kami jatuh dan hanyut dalam arus dunia. Ya, kamilah yang Allah telah janjikan neraka jahannam kelak, tapi anda yang bersalah.." 


"Anda yang dikatakan penyebar dakwah dan tarbiyah Islam, yang patut dipersalahkan. Anda tahukah perasaan mereka yang sedang dilamun cinta..?"


"Sayang dan kasih kami kepada buah hati kami jauh lebih daripada cinta anda kepada Allah. Jadi anda ingin kami berubah..?"


"Kami menangis bila merindui pasangan kami. Anda pula, pernahkah menangis kerana rindukan Rasulullah..? Pernahkah menangis kerana takutkan Allah..?"


"Kami meluangkan masa tanpa sebarang had bersama-sama. Kami mampu bercakap di telefon bimbit berjam-jam lamanya tanpa rasa bosan. Anda..? Berapa lama masa anda luangkan untuk beribadat..? Berapa lama anda luangkan untuk baca Al-Quran..?"


"Dan anda masih mahu salahkan kami."


"Kami hanyut dibuai cinta dunia. Kami terlontar jauh di birai dunia tarbiyah dan dakwah anda. Anda biarkan kami..! Kami inginkan contoh..! Bukannya nasihat yang berbondong-bondong..! Bagaimana anda ingin tunjukkan betapa agungnya cinta Khaliq berbanding cinta kami kepada kekasih hati kami..?"


"Bila kami terlupa, anda biarkan kami. Anda marahi kami. Anda kasari kami dengan kehebatan anda berkata-kata. Anda lupa, kami juga manusia. Adakah anda tak pernah berdosa..? Di mana nasihat-nasihat berhikmah yang Rasulullah telah sarankan..?"


"Anda membenci kami kerana kami berdosa yang terang-terangan. Kenapa tidak anda tarik tangan kami dan tunjukkan kami kesilapan kami..? Kenapa benci kepada pelaku dosa, dan bukan dosa itu sendiri..?"



"Anda kata anda terpelihara. Anda kata anda dilindungi Allah. Tapi kami, saudara seagama anda, anda biarkan..! Anda tak mencegah, apa lagi menghalang..! Memang ada di antara anda yang cuba mengingatkan, tapi dengan kata-kata kasar..? Inikah dai'e yang memartabatkan Islam..?"


"Kami sedar kami berdosa. Dan kami ingin berubah. Kami ingin kembali ke jalan yang diredhai Allah. Tetapi kami takut dengan apa yang orang akan bicarakan tentang kami. Kami kotor. Kami penuh dengan dosa. Bila kami kembali kepada Islam anda ragui kami. Anda bercakap tentang kami. Bukankah sokongan anda yang kami perlukan..? Tapi anda terus pesimis."


"Kami cekalkan hati. Kami ingin mencari cinta hakiki. Kami ingin berubah. Kami ingin menjadi sebaik anda. Tapi kerana sikap anda kami gagal. Kami terus sesat, terus hanyut." 


"Siapa yang harus dipersalah..? Kamikah yang bersalah..? Atau.." 


"Aduhai dai'e agama Allah, laksanakanlah tugas tarbiyah dan dakwah penuh ikhlas dan berhikmah. Pasakkan rasa rendah diri dalam hati, tunjukkan contoh yang hebat. Bertuturlah penuh kasih sayang, kuatkan iman dengan menahan marah. Penzina, pembunuh atau perompak juga adalah manusia.."


"Pimpinlah kami sehikmah mungkin. Jelajahlah setiap latar belakang kami sebelum kata-kata pahit menyentuh sensitiviti kami. Telah Allah jadikan manusia dengan fitrah sukakan benda-benda yang cantik. Cantikkanlah akhlakmu. Indahkanlah bicaramu. Agar kami mudah tertarik dengan apa yang disampaikan kepada kami. Moga kami teruja mengikut jejakmu, menjadi seindah akhlakmu semanis bicaramu.."

Semoga Islam kembali megah dengan keindahannya yang hakiki. Semoga istilah "kami" dan "anda" tiada lagi dan digantikan dengan "kita", umat Islam yang bersatu erat, bergantung kuat pada tali Allah SWT.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...