KITA CANTIK SEKALI, TAPI

Kita cantik sekali, tapi hanya di mata manusia. Sedangkan yang Maha Kuasa tak pernah memandang rupa atau pun bentuk tubuh kita. Namun Dia melihat pada hati dan amal-amal yang dilakukan hambaNya.


Kita cantik sekali, tapi cantik luaran tak akan pernah abadi. Saat ini kita boleh berbangga dengan kemolekan wajah atau pun bentuk tubuh. Namun beberapa waktu nanti, saat wajah telah keriput, rambut pun kusut dan berubah warna putih, tubuh tak lagi tegap, membongkok dimakan usia, tak akan ada lagi yang boleh dibanggakan. Lebih-lebih jika telah memasuki liang lahad, tentu tiada manusia yang mahu mendekat.


Kita cantik sekali, tapi kecantikan hanyalah pemberian dan untuk apa dibangga-banggakan..? Sesungguhnya kecantikan patut disyukuri dengan cara yang baik. Mensyukuri kecantikan bukanlah dengan cara mempamerkan gambar atau membandingkan rupa, sedangkan hakikatnya wajah itu bukan milik kita.


Tidakkah kita rimas bila banyak mata lelaki yang memandang berhari-hari..? Tidakkah kita berasa malu ketika wajah kita dinikmati tanpa kebenaran kita sendiri yang menayang gambar. Atau rasa malu itu telah punah musnah..? Betapa sayangnya jika demikian sedangkan ia sebahagian dari keimanan.


Kita cantik sekali, tapi apa manfaat pujian dan kekaguman seseorang..? Adakah ia akan menambah pahala dariNya..? Adakah darjat kita akan meninggi di sisi Ilahi setelah dipuji..? Tiada yang menjamin. Mungkin malah sebaliknya, wajah cantik itu menjadikan kita tiada harga di hadapanNya, kerana kita tak mampu memelihara sesuai dengan ketentuanNya.


Kita cantik sekali, kecantikan itu harta berharga bukan barang murah yang boleh dinikmati dengan mudah. Di mana nilainya jika setiap mata begitu leluasa memandang cantiknya rupa. Di mana harganya dan kehormatan sebagai hamba Tuhan jika setiap orang, baik ia seorang kafir, musyrik, fasiq atau munafik begitu mudah menikmati wajah para muslimah..?


Kita cantik sekali, alangkah indah jika kecantikan luaran itu dipadu dengan kecantikan hati kita. Apalah erti cantik rupawan bila tak memiliki keimanan. Apalah guna tubuh molek memikat bila tiada rasa malu yang lekat. Cantikkan diri kita dengan cahayaNya. Cahaya yang bersinar dari hati benderang penuh keimanan. Hati yang taat sentiasa patuh pada syariat. Hati yang taqwa, yang selalu menjalankan perintah dan menjauhi laranganNya. Hati yang sederhana, yang tak berlebihan dalam segala urusan dunia.


Maka tampillah cantik di hadapan Pencipta kerana itu lebih bererti daripada menampilkan kecantikan pada manusia yang bukan mahram. Tampillah cantik di hadapan suami kerana itu adalah sebahagian dari jihad. Mengabdi pada manusia yang kita kasihi demi keredhaan Ilahi. Tampillah cantik, cantik iman, cantik batin, cantik hati, kerana itu lebih abadi.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...