Hujan lebat sedang membasahi bumi. Membersihkan kekotoran dan debu pada dedaunan yang menghijau. Menyuburkan tanah yang kekeringan dan tandus. Kelihatan beberapa mahasiswa dalam keadaan basah, sedang berlari-lari meredah hujan tersebut.
Aku dengan Stacy sedang duduk di salah sebuah meja dalam kafeteria sambil melayari internet. Pada masa yang sama, sambil menunggu hujan redha sebelum kembali ke asrama pelajar. Aku menekan papan kekunci komputer. Melayari laman sosial Facebook.
Kelihatan beberapa komen yang berkaitan isu poligami sedang tercatat di dinding catatan salah seorang kenalanku di laman sosial Facebook. Ku amati apa yang ditulisnya, cuba mengambil manfaat daripadanya.
Stacy yang sedang duduk begitu rapat disebelahku pula memerhati, sambil menikmati minuman coklat panas dan beberapa keping biskut Chipsmore.
"Tidakkah kamu fikir bahawa Islam itu menzalimi wanita..?" Soal Stacy secara tiba-tiba.
Aku terkejut mendengar soalan itu. Mungkin dia terlihat tulisan rakanku di Facebook itu. Aku diam seketika mendengar soalan itu. Soalan yang menguji iman. Bagi sesetengah orang yang kurang pengetahuan, soalan tersebut mungkin boleh membuatnya gelabah.
"Tidaklah. Saya tidak rasa dizalimi pun." Aku menafikan dengan tenang tanggapan di sebalik soalan Stacy.
Sebagai seorang wanita muslimah, bagiku Islam bukanlah agama yang menindas wanita. Islam adalah agama yang membela dan memuliakan darjat kaum wanita. Aku merasa selamat memilih Islam sebagai agamaku.
"Okeylah." Kata Stacy mengiyakan pandanganku.
Tapi aku dapat rasakan disebalik kata-kata ini, masih tersembunyi ketidak puasan hati. Akan ada soalan seterusnya yang menyusul.
"Mengapa dalam Islam, lelaki dibenarkan untuk berpoligami, sedangkan perempuan tidak dibenarkan untuk berbuat demikian..? Bukankah ini sesuatu tidak adil ke atas wanita..?"
Jangkaan ku tepat. Soalan tadi tidak berhenti di situ, Stacy masih menyoal soalan yang menduga keyakinanku terhadap Islam. Stacy adalah seorang gadis non-muslim yang berfikiran terbuka. Meskipun dia seorang yang beragama Kristian, tetapi sekiranya dilihat daripada segi pemikirannya, dia sebenarnya sudah semakin jauh dari ajaran Kristian itu sendiri. Aku mengenalinya ketika pensyarah mengarahkan kami untuk menyiapkan satu kertas kerja bersama-sama. Daripada perkenalan yang singkat itu, aku dapat fahami fikirannya kelihatan dipengaruhi dan cenderung kepada fahaman feminisme.
Gerakan fahaman feminisme bukanlah sesuatu yang baru pada masa kini. Ianya sudah wujud bertahun yang lama. Gerakan ini berhasrat untuk memperjuangkan hak wanita dan menuntut kesamaan status sosial, politik dan ekonomi antara lelaki dan wanita dengan cara yang tidak sepatutnya. Apa yang diperjuangkan oleh mereka adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. Sesungguhnya tanpa feminisme sekali pun, kedudukan orang wanita sudah cukup terbela dengan Islam. Islam telah mengangkat martabat wanita dan menjaga wanita dengan sebaiknya.
"Jadi, maksud kamu, yang adilnya adalah apabila lelaki hanya dibenarkan berkahwin satu sahaja, atau pun perempuan juga dibenarkan melakukan poliandri, begitu..?"
Aku cuba mengagak tujuan di sebalik soalan Stacy tadi. Poliandri adalah lawan kepada poligami, iaitu seorang isteri yang mempunyai lebih daripada seorang suami.
"Ya..!" Stacy tersenyum mendengar soalan balas yang ku ajukan kepadanya.
"Kalau begitulah pandangan kamu, sebenarnya kamu telah berlaku zalim." Aku cuba menyanggah pandangan Stacy.
"Eh, mengapa pula..?" Stacy terkesima.
"Adakah kamu ingin beralasan bahawa nisbah lelaki lebih sedikit daripada perempuan..?"
"Itu salah satunya." Jawabku ringkas.
"Kalau kamu gunakan itu sebagai alasan semata-mata, maka hujah kamu adalah tidak kukuh. Ini kerana, tidak semua tempat di dunia ini jumlah lelaki lebih sedikit daripada wanita." Jelas Stacy dengan bangga.
Dia kelihatan begitu yakin dapat melemahkan peganganku.
"Berdasarkan statistik yang dinyatakan oleh Jabatan Perangkaan dalam Utusan Malaysia tahun lalu, jumlah lelaki adalah lebih ramai daripada perempuan dengan nisbah 105 : 100..!"
"Ya, itu saya tahu. Saya pernah membacanya di laman web Utusan Malaysia." Jawabku bersahaja.
Kata-kata Stacy itu, sedikit pun tidak membuatkan aku berasa, kerana aku mempunyai alasan yang lain.
"Stacy, kamu kena faham satu perkara." Aku mula membantah apa yang diutarakan oleh Stacy.
"Walaupun jumlah lelaki di Malaysia lebih ramai, itu tidak memberi makna apa-apa sebenarnya. Realiti menunjukkan, tidak semua lelaki yang berjumlah ramai itu, boleh bertanggungjawab kepada wanita dan keluarga apabila mereka berkahwin."
"Okay, teruskan kata-kata kamu. Ianya kelihatan menarik." Stacy tersenyum.
Dahinya berkerut sedikit, dia cuba memberikan tumpuan terhadap apa yang aku sampaikan.
"Berdasarkan statistik yang bersumber daripada Agensi Anti-Dadah Kebangsaan, daripada tahun 2000 hingga 2008, jumlah penagih perempuan dan lelaki adalah pada nisbah 1 : 55." Aku menunjukkan statistik yang terpapar di skrin komputer.
"Itu belum termasuk lagi jumlah lelaki yang terlibat dengan gejala tidak sihat, dadah, lumba haram, seks bebas, arak dan sebagainya. Yang pastinya ramai wanita yang tidak ingin bersuamikan lelaki sedemikan rupa. Apabila semua itu ditolak, maka akan tinggal sedikitlah lelaki yang layak dan sesuai untuk dijadikan suami."
"Pada pandangan kamu, adakah ketika itu sistem lelaki berkahwin satu sahaja sesuai untuk diamalkan..? Adakah kamu sanggup membiarkan perempuan-perempuan tidak berkahwin terus membujang sehingga lewat usia, atau pun lebih teruk terjatuh ke dalam gejala tidak sihat seperti lesbian..?" Aku mengajukan soalan bertubi-tubi.
"Pada pandangan saya, amalan mewajibkan monogami sebenarnya yang zalim, kerana mementingkan diri sendiri."
Melihat Stacy hanya diam tidak bersuara. Aku terus menyambung kata-kataku berkenaan amalan poliandri bagi wanita.
"Manakala tentang amalan poliandri pula, ianya adalah sesuatu yang amat tidak sesuai sekali. Sistem biologi wanita adalah berbeza dengan orang lelaki. Apabila seseorang wanita itu hamil dan dia mempunyai lebih daripada seorang suami, akan timbul persoalan yang membingungkan. Anak siapakah yang dikandungkannya? Adakah anak daripada benih suami yang pertama, kedua atau pun ketiga? Ini pastinya membingungkan keadaan. Walaupun pada masa kini, kita boleh mengetahui siapakah ayah yang sebenar kepada kandungan tersebut, tapi tidak semua orang boleh melakukan pemeriksaan DNA, tidak semua tempat di dunia ini memiliki teknologi DNA."
"Berbeza dengan lelaki, meskipun mereka mempunyai ramai isteri, apabila salah seorang daripada isterinya hamil, kita dapat memastikan bahawa ianya adalah anak daripada lelaki tersebut. Oleh itu, menyamakan wanita dan lelaki dalam hal berkahwin lebih daripada satu, adalah sesuatu yang keliru sama sekali."
Stacy menghela nafas panjang. Badannya perlahan-lahan disandarkan dikerusi yang didudukinya. Dia hanya mengangguk kecil tanda mengalah terhadap apa yang ku katakan.
"Kamu tak kisahkah kalau suatu hari nanti suami kamu berpoligami..?" Stacy cuba mendugaku.
"InsyaAllah, saya sedia menerimanya." Kataku tanpa ragu-ragu.
Aku sememangnya sudah bersedia daripada awal sekiranya suatu hari nanti aku berkahwin, lalu suamiku bercadang untuk berpoligami. Sesungguhnya poligami itu adalah perkara yang halal dan diredhai Allah SWT. Maka apakah patut aku marah terhadap perkara yang Allah SWT redhai..?
Tidak dinafikan mungkin suatu ketika perasaan sedih dan kecewa itu akan ada, kerana aku juga manusia biasa yang mempunyai perasaan dan fitrah. InsyaAllah, aku akan mampu menghadapi semua itu. Aku ingin mencontohi para isteri Rasululallh SAW yang mulia dan tabah. Apa yang penting bagiku, adalah suamiku nanti mampu untuk berlaku adil kepada isteri-isterinya.
"Sebenarnya di dalam Islam, poligami bukanlah semudah yang disangka." Aku cuba menjelaskan kepada Stacy.
Ini kerana, biasanya orang bukan Islam menolak ajaran Islam adalah disebabkan kefahaman mereka yang salah terhadap Islam itu sendiri.
"Maksud kamu..?" Tanya Stacy dengan nada ingin tahu.
"Meskipun orang lelaki diharuskan untuk berpoligami dalam ajaran Islam, tetapi ianya bukan sesuatu perkara boleh dilakukan secara mudah dan suka-suka. Ianya mempunyai syarat dan garis panduan tanggungjawab yang perlu dipatuhi."
"Contohnya kemampuan dalam memberikan nafkah kepada isteri dan kemampuan untuk bersikap adil kepada isteri-isterinya. Apabila seseorang lelaki itu dapat mematuhi syarat-syarat tersebut, maka dia tidak ada masalah baginya untuk berpoligami. Silakan." Ucapku dengan tenang.
Perlahan-lahan aku menghirup minuman coklat panas yang tersedia di atas meja.
"Kalau seorang lelaki itu tidak dapat mematuhi tanggungjawab sebagai seorang yang berpoligami, contohnya tidak bersikap adil kepada isterinya bagaimana?" Stacy bertanya lagi.
"Sekiranya seorang lelaki itu menzalimi isterinya dengan tidak berlaku adil atau sebagainya, maka Allah SWT akan murka kepadanya serta menyediakan azab yang berat baginya pada hari akhirat kelak..!"
"Owh, macam tu.." Kata Stacy dengan nada yang baru tahu.
"Saya minta maaf ya tanya soalan macam tu tadi."
"Tak apa, saya faham." Aku tersenyum lega mendengar kata-katanya.
Stacy turut senyum sama.
"Kalau saya ada persoalan tentang Islam, boleh tak saya tanya dengan kamu lagi?" Pinta Stacy.
"InsyaAllah, tak ada masalah. Saya akan cuba jawab semampu saya. Kalau saya tidak tahu, saya akan tanya dengan orang yang lebih arif pula..!" Hatiku gembira mendengar pertanyaan Stacy.
Ini adalah sesuatu yang amat baik, kerana ianya aku peluang untuk aku memperkenalkan Islam kepada Stacy dengan lebih dekat dan seterusnya menarik minatnya untuk memilih Islam sebagai agamanya.
Masa terus berlalu. Semenjak itu kami sering berbual tentang Islam, dan semakin lama aku dapat melihat Stacy semakin tertarik dengan Islam. Suatu hari setelah lama berpisah, aku mendapat tahu daripada seorang sahabat lama bahawa Stacy telah memeluk agama Islam. Alhamdulillah, aku amat bersyukur pada Allah s.w.t mendengar khabar tersebut.
Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya