QAWA'ID FIQHIYYAH

Definisi Qawa'id Fiqhiyyah

Qawa’id Fiqhiyyah merupakan satu disiplin ilmu yang sangat penting untuk dipelajari oleh setiap mukallaf walaupaun sekadar secara umum. Ianya adalah sangat wajar untuk dituntut dan dikuasai kerana kepentingan dalam kaedah-kaedah fiqh biarpun sekadar menguasai asas-asas penting. Sebagaimana Firman Allah SWT,

"Dan (ingatlah), ketika Ibrahim (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa) ; "Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui"
(Al-Baqarah : 127)


Dari segi bahasa Qawa'id membawa maksud asas rumah atau dengan kata lain Qawa'id adalah kata jamak dari perkataan arab yang membawa maksud yang sama. Kalimah ini mempunyai pelbagai maksud berdasarkan bahasa arab seperti seorang perempuan yang duduk, pemalas, undang-undang dan ibu negeri.


Dari segi istilah syarak menurut Mustafa Ahmad Al-Zarqa' dalam kitabnya, kalimah qawa'id ini membawa maksud hukum yang dipraktikkan ke atas seluruh masalah juz'iyyat. Pada pendapat ulama usul fiqh maksud Qawa'id dari segi istilah ialah hukum kulli yang bersifat umum yang dipraktikkan ke atas semua hukum untuk mengetahui hukum daripadanya. Ada juga terdapat dari golongan ulama Usul Fiqh yang telah menjalaskan bahawa pengertian berkenaan qawa'id dari segi istilah dengan makna hukum kulli atau lebih bersifat umum yang dipraktikkan ke atas semua hukum untuk mengetahui hukum daripadanya.




Faktor Terbentuknya Qawa'id Fiqhiyyah 



Peranan Para Ulama dan Mujtahid

Faktor kewujudan kaedah fiqhiyyah adalah kerana peranan para ulama dan mujtahid kerana golongan ini sangat memainkan peranan penting dalam penggunaan akal fikiran mereka berdasarkan daripada sumber perundangan yang selari dengan konsep syariat yang sesuai dilaksanakan tanpa mengira masa dan tempat. Para mujtahid juga sentiasa berusaha dengan berijtihad bagi memahami nas-nas dan mempraktikkan kaedah-kaedah yang berkonsep umum terhadap permasalahan yang berkait dengan furu' yang baru dan sentiasa muncul sebagai contoh konsep al-qiyas, istihsan, 'uruf dan sumber-sumber yang lain. Walaupun terdapat dalam rangka ijtihad mempunyai dalil-dalil yang lebih bersifat zanni yang telah diperselisihkan ataupun mempunyai pendapat yang berbeza di dalam kalangan ulama dan juga para mujtahid.


Walaupun begitu, mereka semua bersatu dan bersepakat dan terus berusaha ke arah yang terbaik dalam mencari keredhaan Allah SWT. Para ulama dan mujtahid mengkaji dengan lebih mendalam pada setiap ruang serta sumber perundangan Islam yang sangat luas dan seterusnya mereka berijtihad dengan ilmu-ilmu yang mereka ada. Para ulama dan mujtahid akan berijtihad bagi memahami nas-nas serta akan mengkaji prinsip-prinsip syariat yang bersesuaian dengan keadaan masa dan tempat. Mereka menggunakan kaedah yang berbentuk umum bagi masalah khusus atau furu' yang bersifat baru yang sentiasa wujud dalam masyarakat.




Penafsiran Nas Yang Pelbagai

Faktor lain yang menyebabkan wujudnya kaedah fiqhiyyah ialah sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para ulama dan fakta sejarah dimana kerana terdapatnya di antara nas-nas yang ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Pelbagai masalah yang kebiasaanya adalah berbentuk umum yang menyebabkan wujudnya pandangan yang berbeza-beza dan ada terdapat nas-nas yang mutlak melahirkan banyak pendapat untuk diikatkan atau untuk memuqayyadkannya.




Wujudnya Kaedah-Kaedah Umum Berasaskan Adat

Faktor yang seterusnya sehingga wujudnya kaedah fiqhiyyah ialah adalah kesan dari terdapatnya kaedah-kaedah umum yang lebih berasaskan kepada adat kebiasaan yang muncul dalam perkembangan hidup manusia dari satu generasi ke generasi yang lain bagi penyesuaian dengan permasalahan hukum furu'. Dari kerana itulah ianya memerlukan sumber-sumber akal fikiran dan amalan-amalan yang berterusan yang dijadikan sebagai adat atau 'uruf dalam pengeluaran hukum yang fleksibel di samping menangani persoalan semasa yang sentiasa wujud sehingga ke hari ini.


Permaslahan adalah disebabkan fiqh dan furu’ yang terlalu banyak dan luas maka sangat perlu kepada satu cara penetapan prinsip-prinsip atau kaedah-kaedah tertentu supaya ianya akan menjadi lebih mudah untuk mengembalikan semua permasalahan. Para ulama telah mengembalikan semua masalah furu' tersebut kepada lima kaedah asas yang utama dan kesan dari itu juga telah terbentuknya pelbagai lagi kaedah seperti kaedah kuliyyah dan juz'iyyah.




Kaedah Qawa'id Fiqhiyyah


1. Setiap Perkara Dinilai Berdasarkan Niat

Kaedah ini mambawa maksud setiap perkara adalah menurut tujuannya atau pun dengan kata yang lebih mudah ialah setiap perkara akan dikira berdasarkan kepada niat. Ianya membawa maksud setiap amalan yang dilakukan oleh setiap mukallaf adalah berdasarkan kepada niatnya dan kaedah ini telah diambil dari banyak hadis dan diantaranya ialah hadis daripada Anas yang membawa maksud,

"Tidak dikira amalan sesiapa yang tidak berniat"
(HR Al-Baihaqi)


Niat adalah merupakan perkara yang sangat penting dan menjadi syarat sah yang utama sama ada dikira sah atau pun batal dan seterusnya melibatkan perkara yang berpahala atau pun berdosa. Dari kerana itulah sekiranya amalan yang dilakukan tanpa niat yang baik tidak akan mendatangkan apa-apa kesan.




Pecahan Kaedah

Tidak disyaratkan niat dalam mana-mana jenis ibadat yang ia bukan adat atau tidak ada kesamaran dengan yang lain sebagai contoh seperti beriman kepada Allah SWT takut dan mengharap kepadaNya dengan membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain lagi. Bentuk amalan ini adalah berbeza dengan amalan yang lain dan adalah diwajibkan berniat pada membaca Al-Quran apabila dinazarkannya bagi membezakan antara yang fardhu dengan yang lain.


Disyariat ta'yin (menentu) dalam mana-mana amalan yang mempunyai persamaan tetapi tidak di syaratkan ta'yin pada amalan yang tidak kesamaran dengan yang lain sebagai contoh ialah disyariatkan ta'yin seperti solat dan tidak diperlukan ta'yin seperti taharah, haji dan umrah.


Terdapat amalan-amalan yang disyaratkan ta’yin dan jika tersalah ta'yin maka ia membatalkan amalan itu dan di antara contohnya ialah tersalah niat puasa kepada niat solat atau sebaliknya dan dari solat zohor kepada solat asar.




2. Perkara Yang Yakin Tidak Dihalangkan oleh Keraguan

Kaedah ini membawa maksud setiap perkara yang tidak yakin berlaku maka keraguan yang datang kemudian bagi meragui keyakinan itu tidak diambil kira. Sekiranya seseorang itu telah yakin perkara yang telah ditetapkan oleh hukum terhadapnya dan selepas itu timbul syak terhadap keyakinan tadi maka keyakinan asal tidak dapat dihilangkan kecuali dengan keyakinan yang baru. Sebagaimana hadis abu Sa'id Al-Khudri yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud,

"Jika seseorang kamu ragu-ragu ketika solatnya, ia tidak ingat berapa rakaatkah yang telah dilakukannya : Tiga atau empat..? Maka ketepikanlah keraguan tersebut dengan keyakinan"




Pecahan Kaedah

Asal sesuatu perkara kekal mengikut keadaan sebelumnya yang membawa maksud kaedah ini mengekalkan sesuatu hukum masa selepas atau akhir mengikut sabit hukum masa lampau. Sebagai contoh jika seseorang itu yakin bersuci dan kemudian dia syak terkeluar hadas maka dihukumkan kepadanya masih bersuci.



Asal sesuatu itu tidak ada yang bermaksud setiap yang tiada mestilah mendahului ada dan tiada yang asal dikembalikan sehingga sabit perkara baru yang boleh menghilangkan yang asal. Sebagai contoh, seseorang yang menggunakan harta orang lain mengatakan diizinkan tetapi pemilik menafikannya maka pengakuan pemilik barang yang diterima kerana asal harta orang lain itu tidak mendapat keizinan.


Asal bagi sesuatu itu adalah harus sehinggalah ada dalil yang menunjukkan haram yang bermaksud kaedah ini menunjukkan yang halal dan haram itu jelas dan perkara didiamkan itu adalah dimaafkan sebagai contoh jika terdapat binatang, tumbuhan dan buah yang tidak diketahui dengan jelas kedudukan halal dan haramnya maka hukumnya adalah halal dimakan.




3. Kesusahan Membawa Kemudahan

Kaedah ini menerangkan apabila terdapat kesulitan dalam menunaikan perintah Allah SWT maka perintah itu diringankan tidak seperti yang asal sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang membawa maksud,

"Sesungguhnya kamu diutus untu memudahkan dan bukan diutus untuk menyusahkan"




Pecahan Kaedah

Sesuatu perkara apabila tersempit ia akan menjadi luas sebagai contoh seorang wanita yang ingin menikah dan telah kehilangan walinya sedangkan tidak terdapat juga wali hakim di tempat tu maka dibolehkan melantik seseorang lelaki sebagai wali tahkim bagi mengahwini dengan lelaki pilihannya dan selain dari itu juga diharuskan perempuan yang ber’idah keluar rumah apabila keadaan mendesak seperti bekerja untuk sara hidup




4. Kemudaratan Hendaklah Dihapuskan

Kaedah ini membawa maksud kemudaratan itu harus dihilangkan dengan makna kemudaratan yang telah terjadi. Apabila keadaan demikian yang boleh mendatangkan bahaya mestilah dihapuskan sebagaimana dalil yang bermaksud,

"Tidak ada kemudaratan dan tidak memudaratkan"




Pecahan Kaedah

Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang membawa maksud sesuatu kemudaratan itu tidak akan dihilangkan dengan cara menimbulkan bahaya yang lain. Sebagai contoh seseorang doktor tidak boleh sama sekali mengambil darah untuk ditambahkan kepada pesakit yang memerlukan darah sehingga menyebabkan orang itu tenat dan boleh membawa maut.


Menolak kerosakan didahulukan daripada mengambil kemaslahatan yang bermaksud apabila bertembung antara perkara yang membawa kemaslahatan maka perlaksanaanya hendaklah diarah kepada mencegah kemudaratan. Oleh yang demikian perkara yang mencegah kerosakan akan diutamakan dan sebagai contoh hukum furu' yang lahir daripada kaedah ini seperti menghapuskan iklan rokok untuk mencegah tabiat merokok yang lebih besar bahayanya adalah lebih baik daripada mendapat bayaran iklan yang sedikit.




5. Adat Dijadikan Hukum

Kaedah ini adalah berkait rapat dengan dengan sesuatu adat kebiasaan itu dapat ditetapkan sebagai hukum dan para ulama telah menetapkan bahawa ‘uruf merupakan salah satu daripada hukum yang tiada nas syarak. Terdapat sedikit perselisihan di kalangan ulama dalam mentafsirkan pengertian adat dan ‘uruf namun ianya adalah perbezaan kecil sahaja sedangkan skop dan konsepnya adalah sama.




Pecahan Kaedah

Sesungguhnya adat yang diiktibar apabila berlaku berterusan yang membawa maksud sesuatu adat kebiasaan yang berada pada kedudukan syarat yang berlaku secara berterusan dan terdapat juga adat yang berlaku secara tidak berterusan dan memerlukan nas atau dalil untuk mengharuskanya sehinggakan dikira sebagai hukum. Sebagai contoh seseorang yang melanggani majalah biasanya majalah tersebut sampai ke rumah setiap bulan. Apabila berlaku akad langganan walaupun tanpa menyebut penghantaran maka majalah tersebut secara langsung akan dihantar terus dan jika tidak pelanggan boleh menuntutnya.


Berlaku pertentangan antara 'uruf umum dan 'uruf khas yang bermaksud adat kebiasaan yang berlaku dalam kalangan umat Islam dengan adat kebiasaan yang berlaku dalam sesetengah negara umat Islam sahaja yang sama memberi kesan kepada hukum. Sebagai contoh seseorang itu menggunakan barang orang lain tanpa akad namun menurut adat kebiasaan penggunanya, pengguna mestilah menjelaskan bayaran dan pengguna wajib membayarnya kerana dikira terkenal dalam masyarakat.




Kaedah Asas dan Pecahan Qawa'id Fiqhiyyah

Pecahan bagi kaedah asas yang pertama iaitu setiap perkara dinilai berdasarkan niat ialah :


  • Tidak disyaratkan niat dalam mana-mana ibadah yang ia bukan jenis adat atau ia tidak akan ada kesamaran dengan yang lain.

  • Sesuatu amalan yang tidak disyaratkan ta’arrud baginya sama ada secara ringkas mahupun terperinci, apabila dita’yinkan itu, maka ia tidak memudaratkan (tidak batal)

  • Melakukan apa yang tidak dimaksudkan bererti berpaling daripada yang dimaksudkan.

  • Niat berkaitan dengan sumpah dapat mengkhususkan lafaz umum, namun tidak mengumumkan lafaz umum.

  • Sesuatu lafaz berdasarkan niat orang yang mengucapkannya





Pecahan bagi kaedah asas yang kedua iaitu perkara yang yakin tidak dihilangkan oleh keraguan ialah :


  • Asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya.

  • Apa yang ada semenjak dulu dibiarkan atas kedahuluannya.

  • Asal seseorang adalah bebas daripada tanggungjawab.

  • Asal segala sesuatu ialah tiada.

  • Asal pada sifat atau perkara baru mendatang ialah tiada.





Pecahan bagi kaedah asas yang ketiga iaitu kesusahan membawa kemudahan ialah :


  • Sesuatu perkara jika menjadi sempit (susah), hukumnya menjadi luas.

  • Kemudaratan membolehkan tegahan.

  • Perkara-perkara darurat ditentukan mengikut kadarnya.

  • Apa yang diharuskan kepada orang yang uzur terbatal dengan hilang keuzuran tersebut.

  • Keadaan terdesak tidak membatalkan hak orang lain





Pecahan bagi kaedah asas yang keempat iaitu kemudaratan hendaklah dihapuskan ialah :


  • Kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan.

  • Kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan melaksanakan kemudaratan yang lebih ringan.

  • Dipilih yang paling ringan antara dua keburukan.

  • Membendung kerosakan lebih utama daripada menarik kebaikan.

  • Kemudaratan dibendung semungkin yang dapat.





Pecahan bagi kaedah asas yang kelima iaitu adat dijadikan hukum ialah :


  • Apa yang telah diktiraf adat (sebagai harus atau haram) dihukum dengannya.

  • Sesungguhnya adat yang diterima pakai ialah apabila ia berlaku berterusan atau secara kebiasaan.

  • Pengetahuan dengan keredaan menafikan pengharaman.

  • Hakikat ditinggalkan dengan adanya petunjuk adat.

  • Perkara yang dilarang adat hukumnya diterima pakai.





Aplikasi Kaedah Semasa


Berdasarkan kepada kajian membuktikan bahawa keputusan Majlis penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SS) sebagai rujukan utama yang mendedahkan penggunaan kaedah fiqh yang telah digunapakai bagi mengharuskan instrumen-instrumen Pasaran Modal Islam di Malaysia.


Syarikat bercampur didefinisikan oleh MPS SS sebagai sebuah syarikat yang aktiviti utamanya terdiri daripada aktiviti yang dibenarkan Syariah, namun terdapat juga aktiviti sampingan yang haram tetapi nisbahnya kecil. Dalam mengharuskan syarikat bercampur dimasukkan dalam senarai Sekuriti Yang Diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti, MPS SS memutuskan beberapa kaedah fiqh sebagai sumber sokongan kepada beberapa penghujahan lain seperti 'uruf, maslahah dan berasaskan kepada pandangan fuqaha' silam dan semasa.


Kaedah Fiqh yang digunakan ialah Al-Mashaqqah Tajlib Al-Taysir, Al-Amr Idha Daqa Ittasa'a dan Ma 'Ammat Baliyyatuh Khaffat Qadiyyatuh. Kaedah-kaedah ini pada dasarnya mengandungi maksud yang hampir sama dan menyokong antara satu sama lain. Dalam kes syarikat bercampur yang aktiviti utamanya halal, MPS SS memutuskan beberapa kriteria dan ukur rujuk sebelum memasukkannya dalam senarai Lulus Syariah.


Dua kaedah fiqh iaitu La Darar Wa La Dirar dan Al-Darar Yuzal digunakan sebagai sumber ketiga selepas As-Sunnah dan Al-Qiyas dalam pengharusan ta’wid. Kedua-dua kaedah ini memfokuskan kepada prinsip darar. Kaedah pertama menerangkan Islam tidak membenarkan umatnya melakukan perkara yang boleh membawa mudarat dan memudaratkan orang lain. Kaedah kedua pula menyatakan bahawa kemudaratan mestilah dihilangkan selaras dengan matlamat syariah yang mementingkan kemaslahatan hambanya.


Kaedah ini dikemukakan bagi membuktikan bahawa hukum ijtihadi boleh berubah dengan berlalunya zaman. Dalam keadaan ekonomi yang ada sekarang pendapat minoriti fuqaha’ yang tidak mengharuskan syarikat bercampur jika digunapakai akan menyebabkan pertumbuhan Pasaran Modal Islam terhalang. Ditambah pula dengan hukum tersebut terbina atas asas suasana dan realiti silam.


Daripada kaedah fiqh tersebut, kita dapati bahawa setiap sesuatu yang mempunyai nilai yang boleh dijual beli dan dikenakan bayaran ganti rugi boleh disifatkan sebagai harta. Pada dasarnya kaedah ini menjadi panduan bagi MPS SS untuk menetapkan sesuatu produk dan instrumen pasaran modal sama ada ia termasuk dalam kategori harta atau tidak. Oleh itu, ternyata Waran Panggilan mempunyai ciri-ciri yang digariskan oleh al-Suyuti dan juga memenuhi definisi yang digariskan oleh sebahagian besar fuqaha’ apabila ia boleh dikuasai dan dimanfaatkan. Antara ciri Waran Panggilan yang membuktikan bahawa ia bernilai dan bermanfaat ialah waran ini memberi pemegangnya hak untuk membeli sebilangan saham tertentu dalam syarikat pendasar dengan harga yang dipersetujui.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

3 comments:

Anonymous said...

SMATDAFU smatdafu sekolah penipu oleh Saudara ROSHAIDI RASUL.Berhati-hati dengan watak ustaz yang dibawa oleh beliau.Jauhi drp menghantar anak anda

Siti Khadijah Halil Siti Khadijah Halil said...

@Anonymous Sekolah tu di mana ya..? InsyaaAllah terima kasih akan maklumat.. Akan lebih berhati-hati..

Anonymous said...

SMATDAFU seperti dinyatakan telah DIAMBIL ALIH oleh Pengurusan baru sejak MEI 2016. Saudara Roshaidi telah ditahan oleh pihak berkuasa atas penyelewangan wang sekolah.HARAP MAKLUM SEMUA! Boleh hubungi Sekolah di talian *03 6150 2930* utk keterangan lanjut atau email smatdafu@gmail.com

Yang benar,
Pengurusan Baru smatdafu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...