SALAH FAHAM MELAYU TERHADAP ISLAM

Sebelum kita meneruskan perbincangan ini, saya nak cerita sikit pengalaman semasa berada di sebuah kem. Mungkin tiada kena mengena sangat dengan topik yang dibincangkan tetapi menjadi punca kepada mengapa saya menulis artikel ini. Kem ini macam biasa sahaja, ada leadership skill, team-building, semangat kerjasama dan lain-lain. Tetapi pada hari kedua, ada satu sesi temuramah secara inidividu. Apabila tiba giliran saya, penemuramah menanyakan satu soalan yang agak pelik sikit :


"Apa pandangan anda tentang Islam pada zaman sekarang ini..?"


Masa tu, saya agak kurang bersedia jadi saya jawab sahaja apa yang terlintas. Tetapi penemuramah itu berjaya membuat saya berfikir dengan lebih mendalam tentang hal ini sehingga saya berjaya menulis artikel ini. Setelah itu, ada satu sesi perbincangan dalam kumpulan masing-masing mengenai topik yang dipilih oleh fasilitator bagi setiap kumpulan. Saya pun dah lupa apa isu yang dibincangkan dan tiba-tiba, masuk pula isu tentang Islam, lebih kurang macam tu lah. Mudah sahaja Islam dalam pandangannya.


Hujah beliau bahawa ketika dalam satu kursus, apabila peserta-peserta lain mula bergegas untuk tidur beliau ternampak ada seorang manusia sedang mengaji, solat, bertafakur dan sebagainya. Dengan mudah beliau melabel bahawa manusia inilah antara manusia hebat dan perlu disokong dan sebagainya. Padahal manusia tadi sudah dikenali akhlaknya, anak isterinya bagaimana kelakuannya dan lain-lain. Saya teringat tentang sebuah hadis riwayat Al-Tabarani daripada Anas RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, mafhumnya,

"Sesungguhnya seorang hamba akan mencapai kedudukan dan darjat paling tinggi di akhirat kerana akhlaknya yang baik, walaupun ia lemah dalam ibadah."


Setelah itu ada bincang juga mengenai hukum dalam Islam. Memang nampaklah Islamophobia dalam dirinya. Apabila hak Allah dicabar (keamanan, kesejahteraan makhluknya) kita diam sahaja tetapi apabila hak kita dicabar (menjadi mangsa rompakan, kecurian, isteri jadi mangsa rogol dan sebagainya) memang sangat marah hinggakan hendak dikerat empat kalau mengetahui siapa dalangnya. (Baca majalah Solusi isu no. 6, ruangan 'Beduk diketuk' untuk bacaan tambahan)


Saya bukan nak cakap tentang kelemahan orang lain tetapi lebih kepada meneliti soalan penemuramah tadi yang memerlukan kemahiran, pemerhatian, analisis dan sebagainya. Artikel ini tidak bermaksud saya ingin menyentuh mana-mana pihak, lebih kepada menjawab soalan penemuramah tadi dengan lebih profesional.



Antara fenomena masyarakat zaman sekarang :

Kalau kita perhatikan masyarakat kita sekarang ini, apa yang kita dapat lihat ialah suatu penyakit dalaman yang semakin kritikal. Jika kita mengkaji senario ini, apa yang kita dapat buat kesimpulan ialah keadaan masyarakat kita semakin menghampiri kepada zaman jahiliyah dahulu kala. Perkara yang membezakan masyarakat kita dengan mereka mungkin hanyalah kemajuan fizikal kita sahaja.


Sebagai contoh, masyarakat kita buang anak, masyarakat mereka tanam anak. Tidak banyak bezanya. Merompak, mencuri dan pelbagai lagi bentuk kezaliman merupakan perkara biasa pada zaman mereka dan begitu juga pada masyarakat kita sekarang ini. Tidak lupa juga kepada keruntuhan akhlak, dan nilai-nilai murni.


Sekarang apa yang kita dapat lihat adalah dua situasi yang mempunyai banyak persamaan. Jadi sudah tentunya formula untuk menyelesaikan masalah ini agak sama. Oleh itu, apakah formula tersebut..?


Jika kita belajar sirah, ternyata formula yang dibawa oleh Muhammad SAW berjaya menyelesaikan masalah ini lantas membentuk satu generasi Al-Quran yang unik. Bangsa Arab yang dulu dipandang hina oleh masyarakat Rom kerana kejahilan mereka lantas bangun dan maju dalam pelbagai aspek. Mereka sendiri mengatakan,

"Kami bangsa Arab kuat kerana Islam semata-mata. Tanpa Islam kami tetap akan menjadi bangsa yang rendah dan hina"
(Amirul Mukminin Umar Al-Khattab)


Bagaimana pula dengan kita..? 


Dengan bertopengkan kolot, outdated, kejam, menjatuhkan ekonomi dan pelbagai lagi label termasuk daripada orang Islam sendiri, kita terus dengan cara kita sendiri. Sampai sekarang, masih lagi buntu dan teraba-raba untuk menemui jalan penyelesaian. Jika kejam dan tidak berperikemanusiaan sebagai hujah kita, adil dan berperikemanusiaankah kita kalau membela seorang peragut yang telah banyak menyusahkan kehidupan orang lain dan berkemungkinan besar telah 'meragut' juga nyawa orang lain..?




Contoh perubahan yang dilakukan oleh Islam :

Memecahkan satu perbuatan yang sudah menjadi budaya dalam masyarakat merupakan sesuatu perkara yang amat susah. Sebagai contoh, rasuah, sering kali kita dengar percakapan sebegini :


"Kalau tak rasuah, susah la nak dapat projek"


"Relevankah usaha menghapuskan rasuah ini..?"


"Eh, tu bukan rasuah, kita sama-sama untung"


"Nak untung kena ada modal sikit"


Perkara ini menunjukkan bahawa rasuah sudah menjadi satu macam budaya kepada masyarakat kita. Nama pun diubahnya menjadi 'duit kopi', bunyi macam perkara biasa sahaja. Sebelum itu, kita lihat dulu apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW apabila bapa saudaranya, Abi Talib supaya berhenti membetulkan kaum mereka yang jahil.


"Wahai bapa saudaraku..! Demi Allah, sekalipun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku menghentikan tugas agama ini sehingga Allah memenangkannya atau aku sendiri hancur, aku tidak akan meninggalkan tugas ini"


Memang hebat seorang manusia bergelar Muhammad SAW. Siapa yang berani untuk berhadapan dengan kaum sendiri bagi memecahkan budaya yang tidak sihat seperti zina, minum arak, menanam anak perempuan hidup-hidup dan sebagainya melainkan baginda..? Lagi-lagi di zaman yang seperti tiada undang-undang. Walaupun dicaci, dihina, diugut bunuh dan sebagainya, baginda tetap meneruskan usaha murni bagi menegakkan agama Allah di muka bumi ini.


Para ulama pun begitu juga. Kita ambil contoh mudah di negara kita sendiri. Saya ada terbaca Majalah Solusi isu 25 mengenai syirik. Sesuatu ketika dahulu, perlakuan syirik amat teruk dalam masyarakat Melayu. Frank Swettenham, seorang pegawai Inggeris yang bertugas sebagai Residen di Tanah Melayu dalam bukunya 'Malay Sketches' ada menyatakan pendapat beliau tentang syirik dalam masyarakat Melayu. Antaranya :

  1. Orang Melayu suka mengaji Al-Quran walaupun tidak memahaminya, percaya teguh kepada Allah tapi dalam masa yang sama suka berjudi, melarikan isteri orang yang cantik, membunuh dan sebagainya.

  2. Ketika sakit nazak, orang Melayu meminta tolong daripada syaitan (bomoh, dukun dan sebagainya) tetapi apabila hendak mati, barulah mereka mengajar syahadah dan menyerahkan roh kepada Tuhan. Suatu yang sangat berlawanan.

Pada ketika itu, walaupun ulama' membenci dan mencegahnya, namun para pembesar negeri tetap berpegang kepada amalan ini. Komentar Swettenham ini menyatakan bahawa syirik dan khurafat ini berkembang kerana adanya 'kuasa politik' yang melindunginya. Jelaslah kepada kita tentang firman Allah mengenai pemimpin,

"Hai orang-orang beriman janganlah kamu menjadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu sebagai pemimpin-pemimpinmu, sekiranya mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa antara kamu yang menjadikan mereka pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang yang zalim (merosakkan kesejahteraan negara / dunia)"
(At-Taubah : 23)

Berkat usaha ulama'-ulama' kita yang faham Islam yang sebenarnya ini, beberapa kurun kemudian, amalan syirik dan khurafat ini berkurangan sehinggalah ke hari ini. Walaupun masih ada, tetapi amalan syirik yang membuang masa ini sudah makin berkurangan hasil daripada usaha para da'ie yang tidak pernah lupa erti jemu.




Islam sebagai jalan penyelesaian

Segala hukum-hakam dan ketetapan yang Allah tetapkan dalam Islam mempunyai sebab-sebab tersendiri. Kadang kala kita mampu memikirkannya dan kadang kala hanya Allah sahaja yang tahu. Sebelum memikirkan mengikut nafsu semata-mata, adalah lebih baik kalau kita kaji dengan lebih terperinci daripada semua aspek.

"Bukankah Allah, Tuhan Yang Mencipta Sekalian Alam..?"

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

2 comments:

NidzamYatimiRamli NidzamYatimiRamli said...

http://zamyatimi.blogspot.com/2012/05/salah-faham-terhadap-islam-by-brother.html


kat link ni banyak menjawab salah faham terhadap islam. termasuk kes melayu dan islam punya salah tanggapan

Siti Khadijah Halil Siti Khadijah Halil said...

@NidzamYatimiRamli Terima kasih banyak2

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...