BERSATULAH WAHAI UMAT ISLAM

"Di Somalia nun, bersahur tak ada makanan, berbuka pun tak ada makanan. Mereka majoritinya adalah saudara-saudara seakidah kita yang bergama Islam. Tapi nasib mereka macam tu. Mana pergi negara-negara Islam yang lain..? Membutakan mata sajakah..? Tengok di Syria sana, berapa ramai yang mati syahid..? Sana tak aman sebab umat-umat Islam tak bersatu padu. Masih berpecah belah. Mementingkan dunia je. Macam di Syria sana tu, negaranya diperintah oleh puak-puak Syiah. Negaranya pulak ada dua jenis.. Sunni (Ahlu Sunnah Wal Jamaah - ASWJ) dan juga Syiah.."


Jangan nak tengok Somalia yang jauh tu. Tengok aja la jiran negara kita. Burma nun. Atau pun, nama sekarangnya adalah Myanmar. Myanmar terletak di sebelah negara Bangladesh. Dulu kerajaannya dipimpin kerajaan tentera sampai 2011. Sekarang baru kerajaan demokrasi. Dah ada presiden namanya Thein Sein. Dekat sana ada 800 ribu penduduk Rohingya yang mana mereka ni tidak diiktiraf kewarganegaraan mereka. Ramainya antara mereka orang Islam macam kita. Masyarakat majmuk juga macam negara kita. Dekat wilayah yang ada penduduk Rohingya tu ada puak Buddha yang besar orang panggil Buddha Rakhine.


Dekat sana telah berlaku rusuhan antara agama. Buddha lawan Islam. Islam telah lama didiskriminasi di sana. Tapi kali ini telah sampai ke kemuncaknya. Tahun ni hingga ke bulan Ramadhan ni, berpuluh-puluh ribu umat Islam dibunuh oleh finatik Buddha. Masjid-masjid dibakar bersama jemaah di dalamnya, yang membantu baiki masjid dipenjarakan, wanita-wanita dirogol sampai mati, mayat-mayat umat Islam dihumban ke sungai ke laut tanpa boleh dikebumikan, dibiarkan dimakan anjing-anjing dengan mayat-mayat dibogelkan tidak berpakaian. Semoga Allah melaknat kezaliman melampau yang sedang berlaku. Allah Allah.


Cuba kita letakkan diri kita dalam situasi negara Somalia, Myanmar, Syria, Palestin dan lain-lain. Cuba bandingkan diri kita dengan mereka. Ketara sangat perbezaannya. Di negara-negara mereka, majoritinya mati syahid, kita, mati gugurkan janin. Negara mereka tak ada kemudahan-kemudahan macam yang kita guna sekarang ni. TAK ADA..!!


Ya, kalau kita nak bandingkan negara kita dengan Somalia, Myanmar, Palestin, Syria, memang bagai enggang dengan pipit atau pun jauh bara dari api. Terlalu ketara perbezaannya. Sebab apa..? Sebab pemikiran penduduk Malaysia (Tak semua) ni hanya cakap,


"Tak pe, negara aku aman, damai. Hiburan ada. Rileks" 


Heh, ya benar ke aman..? SALAH..!! Saya menegaskan di sini, negara kita tak pernah aman. Dengan adanya, penjenayah dalam selimut, mereka juga adalah penjajah. Ingatlah, kita ni ditugaskan berada di atas muka bumi ini, adalah untuk menyebarkan dakwah Islam. Sebarkan Islam sebaik-baiknya. Teruskan perjuangan Rasulullah SAW. Bagaimana, orang bukan Islam mahu mencontohi, kita umat-umat Islam, selagi kita masih ada musuh dalam agama kita sendiri. Islam yang mempunyai kaum yang pelbagai. Puak-puak wahabi, sunni, syiah dan mungkin ada lagi puak-puak yang lain yang masing-masing saling mengkafirkan umat-umat Islam yang lain.


Semuanya tiada persepakatan langsung dalam menyatukan Islam. Jika Islam dengan Islam pun masih bertelagah, mementingkan diri masing-masing, gila kuasa, mementingkan dunia, bagaimana kita nak ubah kefahaman orang-orang yang bukan Islam terhadap agama kita..? Ingat, dakwah kita ini, bukan sekadar tertumpu pada umat-umat Islam sahaja. Malah menyeluruh. Dakwah Islam bertumpu pada semua golongan dan hamba-hambaNya. Hamba-hambaNya itu bukan setakat bermaksud umat-umat Islam je. Tapi, kaum-kaum lain juga. Tak kisah la, mereka menganut agama apa sekali pun. Mereka tetap hamba Allah. Islam tak akan bangkit jika masing-masing masih tidak bersatu. Bak kata ulama',

"Selagi para jemaah solat subuh tidak seramai jemaah solat jumaat, selagi itu lah, umat Islam tak akan bangkit"


Point di sini adalah BERSATU. BERSATU kita teguh, BERCERAI kita roboh. Kalian masih ingat kan peribahasa tu. Contoh lah saya bagi, ketika main bola, atau pun, apa jua permainan yang perlukan kerjasama sekalipun, jika mahu menang dan capai kejayaan dan target, mesti kene bersatu. Jika tidak kesefahaman walaupun, seorang ahli saja tak bekerjasama, peluang untuk menang tu amat tipis. Kerjasama ni penting. Dan dalam Islam sekalipun, tidak langsung diajar untuk pupuk semangat assobiyah A.K.A perkauman kan..?


Lihat sajalah negara kita ni, bumi Malaysia, pelbagai parti politik ada. Saya tak nak mention parti mana. Maksud politik menurut Islam adalah siyasah. Hal ini timbul kerana mereka telah sebati hidup dalam lingkaran politik kufur / sekular yang ada sekarang di mana apa yang mereka lihat hanyalah kekotoran dan kejijikan politik yang diamalkan oleh ahli-ahli politik yang ada. 


Politik, bagi mereka adalah suatu yang kotor manakala Islam adalah suatu yang suci, justeru, bagi mereka Islam tidak sama dengan politik atau perlu dipisahkan dari politik. Memang benar, kita bersetuju jika dikatakan politik (Sekarang) adalah kotor dan keji. 


"Kenapa..?"


Kerana politik yang ada sekarang adalah politik kufur iaitu politik yang datangnya dari kafir Barat, politik yang dikuasai oleh orang-orang yang berkiblatkan barat, politik yang membelakangkan Al-Quran dan Sunnah, politik yang dipenuhi dengan penipuan, politik yang dilingkungi ketamakan akan kekayaan dan kerakusan untuk berkuasa, politik di mana seseorang cuba menjatuh dan mengaibkan satu sama lain, politik di mana seseorang suka memfitnah satu sama lain, politik yang dipenuhi dengan rasuah, politik yang membenarkan arak, judi, riba serta pergaulan bebas merajalela, politik yang mana sistem dan undang-undangnya dibuat oleh manusia dan pelbagai kekejian lagi yang ada. Dengan kata lain, politik yang ada sekarang sememangnya kotor dan keji kerana telah memisahkan agama dengan kehidupan.


Dengan segala kamaksiatan yang ada inilah yang menjadikan umat Islam melihat bahawa politik itu kotor dan jijik sehingga ada sebahagian umat Islam yang menolak politik. Memang benar, kita mesti menolak politik kotor ini, kerana ia adalah politik kufur. Tetapi dalam masa yang sama, kita tidak boleh menolak dan hanya membiarkan politik kotor ini terus bermaharajalela dan menguasai kita, bahkan kita wajib menggantikannya dengan politik Islam (Siyasah syar'iyyah) yang bersih dan benar. 


Sesungguhnya inilah apa yang wajib kita lakukan sebagai seorang Muslim. Kita sedih kerana ada ulama yang tahu akan segala kekejian dan kekotoran yang ada dalam politik sekarang, bahkan menolak politik kerana kekotorannya, tetapi ada di antara mereka yang tetap 'rela dan redha' dilantik oleh ahli politik dan terus berkhidmat dengan pemerintah dalam sistem politik yang penuh maksiat ini. 


Walhal apa yang wajib dilakukan oleh para ulama ini adalah 'membersihkan' segala kekotoran ini dengan menasihati pemerintah atau ahli-ahli politik yang ada agar kembali mengamalkan politik Islam (Siyasah syar'iyyah), bukannya hanya duduk sepejabat atau semeja (Dengan pemerintah) dan bergelumang dengan sistem kufur dan politik kufur ini.


Secara lughah (Bahasa), siyasah (Politik) berasal dari kata sasa, yasusu, siyasatan yang bererti 'mengurus kepentingan seseorang'. Perkataan siyasatan menurut pengertian bahasa adalah 'pemeliharaan / pengurusan'. Dalam kamus Al-Muhits dikatakan,


"Sustu ar-ra'iyata siyasatan, ai amartuha wa nahaituha, ai ra'itu syu'naha bi al-awamir wa an-nawahi"

"Aku memimpin rakyat dengan sungguh-sungguh, atau aku memerintah dan melarangnya, atau aku mengurusi urusan-urusan mereka dengan perintah-perintah dan larangan-larangan). Ini dari segi bahasa. Ada pun maksud siyasah menurut istilah / syara' adalah ri'ayah asy-syu'un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (Mengatur / Memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri"
(Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, Muqaddimah Ad-Dustur)


Pengertian ini diambil dari beberapa hadis di mana Rasulullah SAW menggunakan lafaz 'siyasah' untuk menunjukkan maksud pengurusan / pemeliharaan urusan umat, antaranya hadis riwayat Bukhari dan Muslim,

"Adalah Bani Israel dahulu yang mengatur urusan mereka adalah nabi-nabi (Tasusuhum al-anbiya). Bila wafat seorang Nabi, maka diganti dengan Nabi yang berikutnya. Sesungguhnya tidak akan ada lagi Nabi sesudahku tetapi akan ada khulafa' dan jumlahnya banyak. 


Para sahabat bertanya, 

"Lalu apa yang engkau perintahkan kepada kami..?"


Nabi bersabda,

"Penuhilah ba'iat yang pertama, yang pertama sahaja, berikanlah kepada mereka hak mereka. Sesungguhnya Allah akan meminta pertanggungjawaban mereka atas apa saja yang mereka urus / pelihara."


Berdasarkan maksud politik (Siyasah) menurut Islam, maka adalah jelas bagi kita bahawa mengurus / memelihara (Ambil peduli) tentang urusan umat Islam adalah tanggungjawab politik yang dibebankan oleh Allah swt ke atas bahu pemerintah. Ini sesuai dengan sabda Nabi saw bahawa,

"Imam (Pemimpin) itu pemelihara dan dia bertanggungjawab di atas orang yang dipelihara rakyatnya" 
(HR Muslim)


Memelihara rakyat bermaksud mengambil berat tentang kepentingan-kepentingan rakyat yakni menunaikan segala hak dan kewajipan rakyat mengikut ketentuan yang telah Allah perintahkan ke atas mereka. Bagi setiap individu Muslim dan gerakan Islam pula, mereka juga wajib berpolitik dengan maksud wajib ke atas mereka memerhatikan urusan atau kepentingan umat Islam. 


Wajib bagi mereka memastikan bahawa mereka 'diatur' (Oleh pemerintah) dengan hukum-hakam Islam dan wajib pula bagi mereka memuhasabah pemerintah sekiranya pemerintah tidak menerapkan hukum Islam ataupun mengabaikan kemaslahatan kaum Muslimin. Dalam hal ini, Allah SWT telah mewajibkan adanya segolongan (Jemaah / Gerakan) dari kalangan umat Islam agar mengajak manusia kepada Islam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar.


Firman Allah,

"Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru (Berdakwah) kepada kebajikan (Islam), dan menyuruh kepada yang ma'ruf serta mencegah dari yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang menang"
(Ali Imran : 104)


Inilah tanggungjawab politik umat Islam yang telah diwajibkan oleh Allah SWT. Pentingnya muhasabah dari rakyat kepada pemerintah yang zalim, yang tidak menerapkan Islam sehingga Allah dan RasulNya meletakkan satu darjat yang tinggi kepada mereka yang melakukan aktiviti politik (Muhasabah) ini, dengan status sebagai sayid asy-syuhada (Penghulu para syahid).


Sabda Nabi SAW,

"Penghulu syuhada adalah Hamzah ibn Abi Thalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang jahat / zalim, lalu menyerunya berbuat baik dan mencegahnya berbuat mungkar, kemudian ia dibunuh (Oleh penguasa tersebut)"
(HR Hakim)



Rasulullah adalah ahli politik

Sesungguhnya amat salahlah orang yang mencontohi Rasulullah SAW hanya dalam bidang akidah, ibadat dan akhlak semata-mata. Sesungguhnya amat naiflah pandangan orang yang tidak mahu terlibat dengan politik dan hanya mementingkan soal akidah dan ibadat sahaja. 


Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah adalah uswatun hasanah bagi kita di dalam semua perkara, bukan hanya akidah, ibadat atau akhlak semata-mata..? 


Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah adalah seorang ahli ekonomi dan ahli politik yang agung..? 


Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah merupakan seorang pemimpin sebuah kutlah (Kelompok / gerakan) Islam (Semasa di Makkah) dan baginda adalah Ketua Negara Islam (Semasa di Madinah) dan sekali gus merupakan seorang pemimpin dunia Islam..? 


Adakah sebagai seorang pemimpin sebuah kutlah, Rasulullah bukan ahli politik..? 


Adakah sebagai seorang pemimpin negara dan pemimpin dunia, Rasulullah bukan ahli politik..? 


Tidakkah mereka sedar bahawa Rasulullah mengajak manusia kepada (Agama) Islam dan dalam masa yang sama melakukan aktiviti politik di dalam dakwahnya, baik di Makkah mahupun di Madinah..?



Tidakkah mereka sedar akan hadis Rasulullah yang masyhur (Semasa Rasulullah masih di Makkah),

"Demi Allah, andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan urusan (Dakwah) ini, hinggalah Allah benar-benar memenangkanku atau aku hancur bersamanya, sekali-kali tidak akan aku tinggalkan"
(HR At-Thabari)


Hadis ini sebenarnya agak panjang di mana pada awalnya orang kafir Quraisy sudah tidak tahan dengan dakwah Rasul yang meremeh-remehkan akidah dan kepercayaan mereka, mencaci sembahan-sembahan mereka dan 'menghentam' segala bentuk 'sistem kufur' yang mereka amalkan. Kafir Quraisy tahu dan memahami bahawa apa yang Rasulullah SAW inginkan ialah sebuah kekuasaan / negara di mana sistem Islam dan hukum Allah boleh diterapkan di dalamnya. Atas sebab inilah mereka cuba menawarkan atau memberi kuasa kepada Rasulullah, cuma dengan syarat Rasulullah mesti meninggalkan dakwah baginda. Jadi, 


Apakah dakwah Rasulullah yang 'menghentam' akidah, pemerintahan dan sistem kufur yang ada ini bukan dakwah yang bersifat politik..? 


Apakah usaha Rasulullah untuk mendapatkan kekuasaan / negara (Untuk menerapkan hukum Allah) ini, bukan aktiviti yang bersifat politik..? 


Hadis ini (Dan banyak lagi hadis lainnya) sebenarnya dengan jelas menunjukkan bahawa aktiviti dakwah yang Rasulullah lakukan adalah berbentuk politik. Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah tidak pernah kompromi atau tunduk kepada orang-orang kafir (Apatah lagi bersekongkol dengan pemerintah dan sistem kufur) di dalam aktiviti dakwah / politik baginda.


Walhal jika difikirkan secara logik, adalah lebih baik Rasulullah menerima sahaja tawaran kuasa yang diberikan oleh orang kafir Quraisy, kemudian baginda bolehlah merubah sistem yang ada setelah baginda berkuasa. Namun, hal ini sama sekali tidak dilakukan oleh baginda Rasul kerana Islam wajib dimenangkan di atas kekufuran, bukannya disatukan atau dikompromikan dengan kekufuran. Di dalam dakwah dan aktiviti politik untuk mendapatkan kekuasaan, bukan maslahat / manfaat dunia yang diambil kira oleh Rasul, tetapi kepatuhan kepada perintah Allah dan keredhaanNya sahajalah yang dicari.


Mengatakan Rasulullah berdakwah hanya dari segi akidah, ibadah atau akhlak sahaja tanpa mengaitkannya dengan siyasah / politik (Mengurus urusan umat) adalah menyalahi al-Quran itu sendiri. Adalah suatu yang amat dangkal apabila seseorang itu hanya mementingkan aspek akidah tetapi tidak mementingkan aspek siyasah (Yang merupakan sebahagian dari hukum syara') Ini kerana terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh tentang aspek siyasah / politik di dalam dakwah Rasul walaupun ketika itu masih di peringkat awal dakwah (Di Makkah). 


Malah, terdapat ayat-ayat Al-Quran (Semasa di Makkah) yang membincangkan (Dan ada yang diturunkan kerana) hal-hal politik yang sedang berlaku (Contohnya Surah Ar-Rum). Ini belum lagi mengambil kira ayat-ayat Madaniyah yang begitu banyak menyentuh tentang politik. Rasulullah di peringkat awal dakwah lagi telah diperintah oleh Allah agar melakukan aktiviti siyasah dengan melaknat sistem kufur yang dipraktikkan dan membetulkan sistem tersebut.


Firman Allah,

"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (Dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka minta dipenuhi dan (Sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka mengurangi"
(Al - Muthaffifin : 1 - 3)

"Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama..? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makan orang miskin"
(Al - Ma'un : 1 - 3)


Ayat yang pertama di atas adalah 'menghentam' sistem ekonomi yang diamalkan oleh kafir Quraisy yang suka menipu dan ayat yang kedua pula 'menghentam' (Celaan Allah ke atas) pembesar / pemerintah Makkah yang suka mengherdik anak yatim dan tidak mempedulikan orang-orang miskin di kalangan mereka. Ayat-ayat ini dan banyak lagi ayat lainnya di mana Allah mengajar Rasulullah (Dan orang-orang yang beriman) bagaimanakah aktiviti dakwah siyasah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pendakwah, bukan hanya dakwah dari segi akidah sahaja, walaupun di peringkat awal dakwah. Jadi, dalam keadaan sekarang pun samalah kedudukannya di mana kita sedang dilingkari oleh sistem yang rosak, maka adalah menjadi kewajipan atas kita untuk menghentam sistem yang rosak ini dan berusaha menggantikannya dengan sistem Islam.




Kesimpulan

Wahai kaum Muslimin..! Dalam pada kita yakin bahawa Allah itu Esa, dalam masa yang sama kita wajib menyeru (Tidak memaksa) orang kafir menyembah Allah Yang Esa ; dalam pada kita yakin al-Quran adalah Kalamullah, kita dalam masa yang sama wajib solat dan menegur saudara kita yang tidak bersolat, wajib meninggalkan riba dan menegur saudara kita yang mengambil riba ; dalam pada kita yakin Rasulullah adalah penutup para Rasul, kita dalam masa yang sama wajib memuhasabah pemerintah yang tidak mengikut perintah Rasulullah ; dalam pada kita beriman dengan qadha' dan qadar, kita juga wajib melakukan amar ma'ruf nahi mungkar ; dalam pada kita yakin adanya syaithan dan taghut, dalam masa yang sama kita diharamkan berdiam diri dengan sistem taghut yang ada; dalam pada kita yakin Daulah Khilafah akan tegak semula dengan izin Allah, kita dalam masa yang sama wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan Khilafah. 


Saudaraku sekalian..! Inilah kaitan antara akidah dan siyasah. Kesempurnaan iman itu adalah apabila kita mengambil dan mengamalkan Islam itu di dalam semua aspek dan bukannya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Apabila seseorang itu telah masuk Islam melalui pintu tauhid, maka wajiblah baginya untuk menyempurnakan ajaran Islam dengan memasuki pintu ibadah, pintu politik, pintu ekonomi, pintu pendidikan, pintu uqubat, pintu jihad dan semua pintu-pintu lain yang ada.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...