KE ARAH PERUBAHAN DIRI



Malam sudah melabuhkan tirai dan pelbagai perkara yang kita lalui pada hari ini. Pahit ataupun manis, negatif mahu pun positif semuanya adalah fitrah kehidupan. Tanpa kita sedar yang masa berlalu dengan pantas sehingga sehari terlalu cepat berlalu.


Apabila kita merasakan semakin banyak angka bertambah pada umur maka dengan itu, kita harus lebih matang dengan keadaan sekeliling serta penghayatan dalam agama memerlukan kita lebih menghargai setiap nikmat yang Allah SWT kurniakan.


Allah SWT memberikan kita akal untuk berfikir dan cara kita menginterpretasikan dalam diri. Di dunia, sudah pasti sesiapa saja mempunyai perancangan dalam menentukan hala tuju masing-masing. Tetapi bagaimana dengan akhirat, sudahkah kita memperbaikinya.


Saya selalu memikirkan hal itu, juga hubungan saya dengan Allah SWT serta amalan-amalan yang harus dipraktikkan dalam kehidupan seharian agar lebih kondusif mengikut keupayaan diri dalam mengatur cara, serta bagaimana kita menyeimbangi dunia serta akhirat.


Saya melihat banyak perkara yang kita ralat sehingga lama kelamaan diri menjadi 'tak keruan' dalam mengharungi liku-liku hidup. Pengalaman banyak memberi kita manfaat tetapi sudahkah kita mengambil pengajaran dari apa yang berlaku. Kita seharusnya bersyukur kerana diberikan ujian di samping dugaan agar sentiasa bermuhasabah diri bahawa kita adalah hamba yang kerdil yang pastinya akan kembali kepadaNya.


Dunia sentiasa berputar mengikut paksinya begitu juga dengan kehidupan, sekiranya kita leka dengan apa yang diperintahkan maka beringatlah dunia hanya sementara, hanya seketika waktu untuk dimusnahkan oleh penciptaNya. Maka dengan itu manusia hanya mampu melihat tanpa sempat untuk bertaubat kepada Allah SWT.


Kita wajib melakukan perubahan walaupun sedikit sekurang-kurangnya kita berusaha untuk berubah dan meletakkan perjalanan kehidupan pada landasan yang betul. Moga perubahan yang kita lakukan beroleh ketenangan serta dirahmati oleh Allah SWT.


Oleh itu, kita harus mengamalkan ajaran al-Quran dan Sunnah serta memperbanyakkan bacaan serta menyelak buku-buku yang memberi kebaikan pada diri dari segi psikologi dan juga spiritual. Dengan harapan yang kita ada, galilah ilmu Allah SWT yang maha luas ini kerana semakin kita menerokai sesuatu ilmu itu maka semakin banyaklah pengetahuan yang kita peroleh di samping mencari keberkatan dan keredhaan Allah SWT.


Berhentilah berkhayal dengan angan-angan yang tidak pasti menjadi kenyataan. Kerahkan usaha agar kuat menghadapi cabaran-cabaran dunia yang bakal menguji keimanan serta ketaqwaan kita kepadaNya. Berhentilah berkhayal dengan angan-angan yang tak pasti menjadi kenyataan.


Oleh itu, sentiasa menadah tangan dan berdoa agar dijauhi perkara-perkara yang mazmumah dan sesungguhnya Allah SWT Maha melindungi setiap hamba-hambanya yang sujud dan tawakkal dengan apa yang dikurniakan.


Keikhlasan dalam beribadat akan terbit dari hati yang cintakan Allah SWT dan meletakkan seluruh jiwa raga semata-mata untuk mendapat hidayah dari Allah SWT. Apabila kita sudah mencapai tahap itu maka kita akan merasai bahawa jarak kita dengan Allah SWT terasa dekat sehingga kita merindui untuk bertemu denganNya.


Subhanallah, Maha suci Allah sekiranya hamba-hambanya diberi peluang merasai nikmat itu dan pasti kita membayangkan betapa indahnya syurga dan beruntunglah mereka-mereka yang mempunyai amalan-amalan yang soleh untuk bekalan di sana.


Kita sebagai hamba, perasaan takut dan gementar pasti menyelubungi diri apabila mengingatkan kematian yang tiada tanda tanya. Tiada siapa yang mampu memberikan jawapan bilakah hari kematian kita. Hanya menunggu waktu dan ketika untuk bertemu dengan Allah SWT apabila sudah tiba masanya.



Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

2 comments:

Anonymous said...

Semoga ramadhan ini berubah ke arah yg lebih muslimah :)

Siti Khadijah Halil Siti Khadijah Halil said...

InsyaAllah.. Doakan saya.. Saya masih perlu tarbiyah dari orang-orang sekeliling.. Hurm.. (",)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...