CINTA, NAFSU DAN TAUBAT

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan tentang seorang penjahat yang ingin bertaubat. Ia masuk ke masjid. Ketika itu Rasulullah SAW sedang mengimamkan solat. Setelah menunaikan solat mereka berbincang-bincang dan penjahat yang ingin bertaubat itu mendengar Rasulullah SAW berkata,

"Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu yang haram maka akan memperolehinya ketika sudah halal"


Setelah Rasulullah SAW dan para sahabat bersurai, pemuda itu turut meninggalkan masjid. Hatinya masih ragu untuk mengutarakan taubatnya. Namun ucapan Nabi tadi amat terkesan di hatinya. Malam pun menjelang. Suasana yang sering menggoda dirinya untuk melakukan keburukan. Tiba-tiba dia berhasrat untuk merompak salah sebuah rumah yang dihuni oleh seorang janda. Ternyata di rumah janda itu terdapat banyak makanan yang enak dan pasti mengundang selera. Ketika dia sedang memulakan suapannya, tiba-tiba dia teringat kata-kata Rasulullah SAW. siang tadi. Akhirnya dia tak jadi makan.


Tatkala beranjak ke bilik ke bilik lain, dia menjumpai perhiasan dan wang yang banyak. Dan ketika dia hendak mengambilnya, sekali lagi dia teringat kata-kata Rasulullah SAW. Lalu dia membatalkan niat jahatnya. Setelah itu dia masuk pula ke sebuah bilik yang besar. Didapatinya janda mu'minah itu sedang terbaring tidur dengan lenanya. Apabila ternampak wajah janda yang cantik dan rupawan itu, 
dia tergoda dan bermaksud untuk melampiaskan nafsunya. Namun tiba-tiba dia teringat kembali kata-kata Rasulullah SAW tadi.

"Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu yang haram ia akan memperolehi barang tersebut ketika ia sudah halal."


Akhirnya, sekali lagi beliau membatalkan niat jahatnya. Lalu dia pergi meninggalkan rumah itu dengan hati yang lega kerana mampu mengalahkan nafsunya. Fajar mula menyinsing. Penjahat tadi pergi menunaikan solat subuh di masjid. Kali ini dia bertekad, dia akan bertaubat di hadapan Rasulullah SAW. Setelah solat, beliau duduk menyendiri di satu sudut masjid, merenung kembali peristiwa yang baru dialaminya malam tadi. Dan menghitung betapa besar dosanya andai perbuatan itu dilakukan.



Ketika matahari terbit datanglah seorang wanita ke masjid dan menceritakan kepada Rasulullah SAW. kejadian semalam di rumahnya. Walaupun tiada barang yang hilang namun beliau khuatir, kalau-kalau pencuri itu datang menyelidik semalam dan akan datang lagi malam nanti. Wanita itu juga memohon kepada Rasulullah SAW agar sudilah mencarikan seorang yang sanggup menjaga rumahnya. 

"Kenapa kau hidup sendirian..?" 

Tanya Rasulullah SAW padanya. Wanita itu menjawab bahawa suaminya telah meninggal dunia. Rasulullah SAW mengarahkan pandangannya kepada seorang yang sedang duduk menyendiri di satu sudut masjid. Rasulullah SAW bertanya pada lelaki tersebut (penjahat tadi), adakah beliau sudah beristeri..?


Setelah Rasulullah SAW mengetahui bahawa lelaki itu telah kematian isterinya, maka baginda menawarkannya seorang calon isteri. Lelaki itu terdiam begitu juga janda yang mengadu tadi. Mereka sama-sama malu. Tetapi Rasulullah SAW yang arif kemudian mengikat kedua insan itu menjadi suami isteri yang sah. Dan, pecahlah tangis lelaki itu, lalu diceritakannya kepada Rasulullah SAW peristiwa yang sebenarnya, dan bahawa pencuri itu tidak lain adalah dirinya sendiri.


Wanita itu keluar dari masjid dari masjid diiringi lelaki yang kini telah menjadi suaminya. Mereka berjalan beriringan menuju rumah yang malam tadi hampir dicerobohinya. Di sana makanan-makanan yang enak masih utuh seperti yang dilihatnya malam tadi. Bezanya sekarang, makanan itu sudah tidak haram lagi. Maka tanpa ragu-ragu makanan itu disantapnya.


Wang, emas dan perhiasan yang hendak dicuri, kini sudah menjadi miliknya yang halal. Bahkan dia boleh menggunakannya untuk berniaga, tanpa haram sedikit pun. Sementara wanita cantik yang hampir dinodainya semalam, kini benar-benar sudah menjadi isterinya.. Berkat kemampuannya menahan nafsu syaitannya.


Lelaki itu berbisik sendiri dalam hati,


"Benarlah sabda Rasulullah SAW, barangsiapa meninggalkan yang haram maka ia akan memperolehinya ketika ia sudah menjadi halal"



Demikian indah Islam mengajar erti cinta. Cinta yang tidak diliputi keraguan, cinta yang menimbulkan rasa tenteram, cinta yang menumbuhkan kedamaian, cinta yang menyuburkan keimanan dan ketaqwaan. Cinta yang apabila kita meneguknya akan diperolehi kenikmatan yang lebih dalam lagi.


Marilah kita menjenguk dan menyemak hati kita. Masihkah ada cinta di sana..? Sudahkah kita mengemas cinta kita dengan kemasan Cinta Rabbani dan memberi label halal di atasnya..? Dan sudahkah kita menyingkirkan cinta syahwat yang akan menjerumuskan kita dalam petaka yang berpanjangan..?


The Beauty of Islam

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...