Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang bermaksudnya :
"Ya Allah..! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit.."
Doa beliau didengari oleh Sayyidina Umar ketika Sayyidina Umar sedang melakukan tawaf di Kaabah. Sayyidina Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya :
"Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah..! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah..?"
Pemuda berkenaan menjawab : "Ya Amirul Mukminin..! Aku membaca doa berkenaan kerana aku takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud,
"Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber / jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur"
"Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah".
Jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri :
"Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu"
Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin.
Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji,
"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan : Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih"(Ibrahim : 7)
Ingat nikmat yang dikurniakan, ingat Pemberi Nikmat yang Maha Pemurah mengurniakan segala nikmat kepada kita. Ayuh kita jadi golongan yang sedikit , iaitu golongan yang bersyukur.
No comments: