Pada hari itu pula ada sesaat yang mulia, di mana segala doa akan dikabulkan. Tetapi, saat yang mulia itu dirahsiakan. Oleh itu hendaklah melazimkan diri berbuat amalan-amalan yang soleh pada hari itu. Jadikanlah Hari Jumaat sebagai hari yang banyak diisikan dengan ilmu-ilmu yang bermanafaat jua ibadat-ibadat untuk hari akhirat sahaja. Memadailah menggunakan hari-hari yang lain untuk bertungkus-lumus dalam kerja-kerja dunia yang dikira sebagai sia-sia dan tidak menguntungkan jika bukan diniatkan semata-mata kerana Allah SWT.
Ketahuilah, perkara yang sunat dilakukan pada siang dan malam Jumaat ialah membaca surah Al-Kahfi, kemudian memperbanyakkan selawat ke atas Rasulallah SAW. Hendaklah sunat ini dipelihara baik-baik. Dan hendaklah menyegerakan pergi ke masjid awal-awal lagi. Jangan melengah-lengahkan diri untuk pergi menunaikan solat Jumaat kerana solat itu adalah wajib ke atasmu. Di waktu Imam berkhutbah, hendaklah memasang telinga baik-baik untuk mendengar segala yang disampaikan oleh Imam yang berupa tunjuk-ajar dan nasihat. Kemudian hendaklah menurut apa yang dikatakan di dalam khutbah itu. Anggaplah dirimu itu sebagai orang yang ditujukan segala nasihat itu.
Semoga sedikit sebanyak dapat menjadikan diri kita hari ini lebih baik dari semalam.
InsyaAllah.
No comments: