Terkesan dengan ayat di atas. Rasa macam kena berdas-das meriam menembak ruang jiwa saya yang kononnya mengaku pejuang agamaNya. Takut satu hari nanti, kalah memperjuangkan agama sendiri kerana dosa yang terlalu banyak pada diri, bukan kerana kelemahan strategi perjuangan.
Kekalahan yang diberikanNya kerana mempunyai jiwa pejuang yang tidak suci dan haprak..! Seru itu dan ini, pelbagai benda didakwahkan, namun terlupa akan diri sendiri. Ingin saya mengimbas kembali tentang Perang Badar.
Tentera Muslimin yang hanya seramai 313 orang, namun mereka berjaya melawan 1000 tentera Musyrikin Mekah. Jika difikirkan secara logik, orang Islam memang tidak akan menang. Tentera yang sedikit dan peralatan untuk berperang yang tidak mencukupi seperti tentera lawan.
Namun, mereka berperang dengan menggunakan kekentalan iman yang berada dalam jiwa-jiwa mereka. Dan kerana iman yang berharga itulah, Allah mengurniakan bantuan para Malaikat dan kemenangan kepada tentera muslimin.
Tentera Muslimin bukan sekadar mempertaruhkan nyawa, tetapi juga iman mereka dan semangat mereka untuk berjihad..! Bila iman yang menjadi pertaruhan, hanya Allah yang tahu betapa kuatnya seorang pejuang.
Pada saya, jika dibandingkan antara kuasa iman dan keinginan untuk mendapatkan syahid, itu lebih tinggi daripada berapa ramai atau secanggih manapun alatan perang. Kekuatan yang datang dari Allah itu lebih berharga..! Kekuatan yang datang dari yang Maha Kuasa..!
Agaknya inilah kekuatan pejuang-pejuang kita di Palestin sana, walaupun kanak-kanak hanya berbekalkan batu, namun jiwa berbekalkan satu senjata yang amat padu. Iman mereka..! Semangat mereka untuk berjihad..! Meskipun sehingga sekarang tidak mengecapi kemenangan untuk mengambil semula tanah tercinta mereka, insyaAllah kemenangan itu akan pasti menjelang juga waktunya.
Allah masih ingin memberi peluang kepada mereka di sana untuk merebutkan gelaran syuhada'. Allah ingin memberikan peluang kepada mereka untuk mengumpul sebanyak pahala yang mungkin. Malang sekali bagi kita, peluang itu seakan-akan tidak pernah datang menjengah. Mungkin kerana kita tidak mengikhlaskan diri kita untuk menjadi pejuang agamaNya seikhlas yang mungkin.
Kata-kata di atas merupakan antara seruan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq dalam surat beliau menjelang Perang Yarmouk
No comments: