SIAPA KITA, KITA SIAPA..?

Catatan dan penulisan ini bukan kerana nama, 
Nama tidak menjamin Redha Rabbuna,
Penulisan ini bukan kerana harta, 
Lagilah harta tidak menjamin ke syurga.. 
Bukan juga kerana terpaksa, 
Memaksa itu bukan sifatnya Habibullah. 
Ini bukan kerana sesiapa, 
Kerana sesiapa bukan ghoyah utama.. 
Penulisan ini hanyalah kerana Allah, 
Kerana RedhaNya adalah kunci kejayaan dunia.. 
Gerbang menuju Jannah..


Ya Allah Ya Ilahi, 
Ajarilah kami bagaimana memberi sebelum meminta, 
Berfikir sebelum bertindak, 
Santun dalam berbicara, 
Tenang ketika gundah, 
Diam ketika emosi melanda, 
Bersabar dalam setiap ujian..


Jadikanlah kami orang yang selembut Abu Bakar As-Siddiq, 
Sebijaksana Umar bin Khattab, 
Sedermawan Uthman bin Affan, 
Sepintar Ali bin Abi Thalib, 
Sesederhana Bilal dan 
Setegar Khalid bin Walid radliallahu'anhum.. 
Aamiin Ya Rabbal'alamin..



Allah Taala berfirman,

"Wahai orang-orang yang beriman..! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar"

(Al-Baqarah : 153)


Kita siapa..? 


Siapa kita..?


Kita bukan sesiapa.. Kita hamba berdosa.. Hanya yang tidak pernah khilaf dan tidak pernah sesekali melakukan dosa ada kelayakan untuk mengukur tahap keimanan seseorang.. Siapa..? Hanya Allah..


Jika kau berasa besar, periksa hatimu kerana mungkin ia sedang bengkak.. Jika kau merasa suci, periksa jiwamu kerana mungkin itu putihnya nanah dari luka nurani.. Jika kau merasa tinggi, periksa batinmu kerana mungkin ia sedang melayang kehilangan pijakan.. Jika kau merasa wangi, periksa ikhlasmu kerana mungkin itu asap dari amal solehmu yang hangus dibakar riya'


Hidayah hanya dari Allah dan bukan dari kita.. Jangan benci orangnya, tapi bencilah dosa yang dilakukannya.. Kelak, dia mungkin bertaubat dan jadi lebih baik dari kita.. Jangan sesekali memperkotak-katikkan 'Hijrah' seseorang.. Sucikah kita dari dedebu dosa..? Sekali lagi. Kita Siapa dan Siapa Kita..? Siapa tahu taubatnya diterima Allah pada 1 / 3 malam terakhir..


Tidak semestinya orang yang berubah ni baik dan soleh..? Tetapi kan, orang yang baik dan soleh tentunya akan berusaha untuk berubah ke arah jalan-jalan, lorong-lorong dan highway yang diredhai Ilahi..!! Jangan pernah sesekali perkecilkan kebaikan yang dilakukan seseorang.. Tak baik tau.. Allah marah..

"Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah ceria dan senyuman)"
(Hadis Riwayat Imam Muslim)



Jika kita merasa lelah dan sesak atas desakan dunia, cari kekuatan di dalam doa dan sujud kepada PenciptaMu.. Jangan gusar, walau sekecil-kecil hijrah yang kita langkahkan, siapa tahu Allah telah meninggikan darjatmu dari mereka yang lain.. Tiada siapa tahu dan hanya Allah yang tahu.. Allah tidak pernah membelakangi kita dalam urusanNya dan tetapi kita yang sering membelakangiNya dalam urusan seharian kita.. Saya insan biasa yang berdosa, kalau-kalau ternampak saya berbuat dosa, jangan saya dihina dan dikeji, kerana saya memang hamba biasa yang berdosa..


Ingatkan saya, tunjukkan saya bila saya terlupa, kerana saya Insan Biasa Yang Berdosa.. Allah Taala berfirman,

".. Dan barang siapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun yang menjadi pemberi petunjuk baginya.. Dan barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak seorang pun yang dapat menyesatkannya.. Bukankah Allah Maha Perkasa lagi mempunyai (kekuasaan untuk) mengazab..?"
(Az Zumar : 36 - 37)

The Beauty of Islam..
Lets Mengislahkan Diri.. =)

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

RAHSIA WAJAH BERSERI

Tipsnya Senang Sahaja.. Tak Perlu Beli Pencuci Muka Yang Mahal-Mahal Pun :)

  • Bangun awal pagi untuk solat subuh.. Air wuduk yang mengenai muka boleh menegangkan kulit..

  • Menunaikan solat zohor di tengah hari.. Air wuduk yang mengenai muka boleh mencerahkan mata..

  • Tidak melalaikan solat Asar di waktu petang.. Air wuduk yang mengenai muka boleh membersihkan kekotoran asap dan habuk siang..

  • Tidak berlengah untuk solat maghrib.. Air wuduk yang mengenai muka boleh menghilangkan bau di hidung dan mulut..

  • Sentiasa ingat solat Isya' di waktu malam.. Air wuduk yang mengenai muka boleh menceriakan wajah dari kemungkaran..


Memang banyak rahsia dan kebaikan jika kita selalu mengikuti apa yang disuruh Allah SWT. Tapi, sayang masih ramai belum menyedarinya..



Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

JANGAN SEMBAH ISLAM, SEMBAHLAH ALLAH

Ada saja manusia, bermusuh musuhan disebabkan berlainan perjuangan, katanya, 


"Kau bukan perjuang Islam, kau perjuang bangsa bla3.."


Kadangkala kita tak sedar, kita terlalu mengagungkan perjuangan itu dan perjuangan ini, hingga bergaduh, berpukul dan sebagainya atas alasan Islam yang didukung oleh perjuangan tersebut.. Tapi kita tak sedar, bagaimana diri kita, adakah amalan kita seiring dengan semangat kita..? Adakah cara kita juga seiring dengan semangat perjuangan ini..?


Ada manusia, bangun subuh susah, pergi solat jemaah susah, pergi majlis ilmu susah, solat tunggang langgang, pendek kata, ibadahnya hancur sheikh.. Tapi, semangat kepartian Islamnya terlalu kuat.. Bercakap berkenaan perjuangan Islam itu ini dengan semangat sekali, tapi, hubungannya dengan Allah amat menyedihkan..


PS : Haha, renungan.. Semoga kita sembah Allah dan menjadi pendukung Islam yang bestari.. Sokonglah PAS, bukan sembah PAS.. Sookooooooonglah UMNO sekiranya UMNO mendukung Islam, tapi jangan sesekali sembah UMNO.. Haha.. SEMBAHLAH ALLAH.. Dan begitu jugalah parti-parti lain pun.. Saya teringat dengan satu post di satu page fb ni, dia kata, 'Sokong (PARTI) anda sesat, Sokong ISLAM anda benar.. 


Sama-samalah kita renung-renungkan dan bermuhasabah diri.. Post ini sama sekali TIDAK MEMIHAK kepada mana-mana parti.. Sekadar untuk bermuhasabah diri buat diri saya sendiri dan rakan-rakan FB..




Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

KANAK-KANAK GENIUS DI ZAMAN KEGEMILANGAN ISLAM

Sayyidina Umar Al-Khattab sedang berjalan di satu lorong di tepi kota Madinah. Sekumpulan kanak-kanak sedang bermain, di antaranya ialah Abdullah bin Zubair. Apabila melihat Sayyidina Umar, kanak-kanak itu bertempiaran lari, kecuali Abdullah. Apabila Sayyidina Umar tiba di tempat itu, beliau pun bertanya, 


"Mengapa engkau tidak lari seperti anak-anak lain..?"


Abdullah bin Zubair yang masih budak itu menjawab secara spontan, 


"Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mengapa saya mesti lari daripadamu..? Jalan ini pun sesungguhnya tidak sempit sehingga saya terpaksa melapangkan ruang untuk Amirul Mukminin berjalan."


Satu ketika yang lain, iaitu semasa pemerintahan Bani Abasiyah Khalifah Al Makmum, khalifah ketika itu, memasuki kutubkhanah negara. Dia melihat ada seorang budak sedang membaca buku dan di celah cuping telinganya terselit sebatang pena. Al Makmum bertanya, 


"Siapakah engkau ini..?"


Budak itu menjawab, 


"Saya adalah tunas baru yang tumbuh dalam kerajaanmu yang sedang bersenang-lenang dengan keadilan pemerintahanmu dan saya bersedia untuk berkhidmat kepadamu. Nama saya Al Hasan bin Raja'"


Sewaktu awal pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah datang berbagai-bagai rombongan dari seluruh pelusuk negara untuk menyatakan taat setia kepadanya. Satu rombongan dari Hijjaz tiba, dan seorang kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun tampil ke hadapan untuk bercakap. Umar Abdul Aziz berkata, 


"Berundurlah engkau dahulu, biarlah orang yang lebih tua daripadamu bercakap"


Budak itu menjawab sopan dengan berani, 


"Semoga Allah kekalkan pemerintahan Amirul Mukminin..! Sebenarnya manusia itu dinilai dengan dua yang paling kecil pada dirinya, iaitu hari dan lidahnya. Jika ALLAH mengurniakan padanya lidah yang petah, hati yang kuat ingatan, maka sudah tentulah dia yang berhak bercakap. Wahai Amirul Mukminin, sekiranya semua perkara diukur dengan umur, nescaya di kalangan umat ini ada orang yang lebih berhak daripadamu untuk memegang jawatan khalifah"


Umar Ibnu Aziz sangat terharu dengan jawapan anak kecil itu. Demikianlah tiga contoh bagaimana tangkas, bijak dan beraninya anak-anak genius di zaman kegemilangan Islam.


Manusia genius mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat. Fikirannya mampu mengubah dunia. Nabi Muhammad, seorang genius, telah berjaya mengubah bangsa Arab menjadi satu bangsa yang gagah, berakhlak dan bertamaddun hanya dalam jangka masa 23 tahun sahaja. Tempoh itu sangat pendek, sehingga seorang professor di Universiti Vienna, Dr. Chevrel berkata, 


"Belum tentu Eropah dapat mencapai apa yang dibuat oleh Nabi Muhammad walaupun terpaksa mengambil masa selama 2 000 tahun"


Inilah kekuatan yang ada pada manusia genius. Dunia tidak dapat diubah oleh tenaga ribuan manusia, tetapi dapat diubah oleh fikiran seorang daripadanya.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

5 SEBAB KENAPA COUPLE HARAM

PERTAMA : TIDAK MEMPUNYAI NIAT YANG BAIK ATAU SEBALIKNYA

Sesebuah perhubungan istimewa..? Antara seorang lelaki dan wanita seharusnya didasari dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk berkahwin. Justeru sebarang perhubungan yang tidak bertujuan seperti tersebut adalah tidak harus seperti bercouple untuk berhibur, bersuka-suka dan sebagainya.




KEDUA : TIDAK MEMATUHI (MELAMPAUI) SYARIAT AGAMA

Lumrah bercouple seakan tidak dapat lari dari aktiviti seperti ber'dating'..?, ber'shoping' dan sebagainya hatta ada yang sampai ke peringkat 'membonceng'. Tidak kurang juga (tanpa segan silu) menggunakan istilah-istilah yang kononnya menunjukkan sikap 'caring' seperti memanggil darling kepada pasangannya. Paling tidak, pasti di dalam pertemuan (dating) akan berlaku pandangan mata yang tidak harus, perbicaraan yang tidak wajar dan seumpamanya. Semua perlakuan ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang mengharamkan perhubungan bebas di antara lelaki dan perempuan. Yang paling penting, apabila Syariat Islam mengharamkan sesuatu perkara/perbuatan, maka wasilah atau tindakan yang menuju kepada perkara yang diharamkan tersebut juga turut diharamkan. Kaedah Fiqh ada menyebutkan : Sesuatu yang membawa kepada yang haram, maka ia juga menjadi haram..? Justeru berdasarkan kaedah ini, maka bercouple yang membawa kepada perlanggaran hukum syariat juga adalah haram.




KETIGA : MENJATUHKAN MARUAH (PERIBADI) SEORANG WANITA

Apabila pasangan yang bercouple berdating, maka peribadi seorang wanita muslimah akan dipersoalkan. Khalayak tidak akan berbicara tentang si lelaki yang bercouple tersebut, tetapi si perempuan. Masyarakat akan bertanya bagaimana begitu mudah si perempuan tersebut membiarkan dirinya diusung (maaf jika agak keterlaluan) ke sana-sini atau setidak-tidaknya umum akan menganggap bahawa perempuan tersebut telah dimiliki. Kesan buruk yang mungkin dihadapi ialah apabila berlaku perpisahan antara pasangan tersebut. Masyarakat akan mula membuat pelbagai tanggapan negatif terhadap si perempuan tersebut. Prasangka-prasangka negatif akan direka dan dihebahkan. Akhirnya berlakulah tohmahan-tohmohan yang menjatuhkan maruah dan kehormatan seorang wanita. Ingatlah bahawa Islam amat memprihatinkan penjagaan maruah seorang wanita. Di atas dasar itulah adanya hukum Qazaf dan kerana tujuan tersebut jugalah Islam mengharamkan perhubungan yang di luar batasan. Sebabnya adalah kerana Islam memelihara kehormatan seorang wanita.



Dalil yang lebih kuat menetang hubungan percintaan terdapat di dalam Surah Al-Israa’(17) ayat 32 :

"Dan janganlah kamu mendekati zina ; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.."


Ayat ini memeng cukup popular di kalangan kita. Ramai yang apabila ditegur dengan ayat ini akan menjawab,


"Kami tidak berzina. Kami berbual-bual je" 


"Kami keluar makan je" 


"Kami main SMS je."


Dan pelbagai 1001 alasan lagi. Para pembaca,sila teliti firman Allah tadi. Dalam ayat ini, Allah melarang kita mendekati zina. Allah menggunakan kalimah 'walaa taqrobuu' (jangan hampiri) dan bukannya kalimah 'walaa ta'maluu' (jangan melakukan). 


Ini menunjukkan, walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun HARAM! Mungkin ada yang tidak jelas dengan maksud menghampiri di sini. Biar kita ambil contoh, jarak kita dengan dewan adalah 50 meter. Apabila kita melangkah setapak ke arah dewan, jarak antara kita dan dewan adalah 49.8 meter. Inilah dikatakan menghampiri dewan. Jadi, bercinta sebelum kahwin dan ber’couple’ adalah menghampiri zina, dan menghampiri zina adalah HARAM.


Ini adalah dalil-dalil daripada Al-Quran. Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi Muhammad SAW..? Dalam hadis, baginda Rasulullah SAW telah memperincikan jenis-jenis zina. Daripada Abu Hurairah RA katanya, Nabi SAW bersabda :

"Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti"


Hadis kedua : Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW sabdanya,


"Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan, zinanya memukul. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti."


(Dua hadis di atas adalah sahih dan diriwayatkan oleh 4 orang imam, iaitu Al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan Ghayatul-Maram. Sahih Muslim, Hadis ke 2281. Sahih Muslim, Hadis ke 2282)




KEEMPAT : MEMBAZIRKAN WANG KEPADA PERKARA YANG TIDAK WAJAR

Di dalam budaya bercouple, biasanya pasangan lelaki akan banyak menghabis duit pinjaman PTPTN, JPA, yayasan negeri (bagi mahasiswa IPT) atau duit pemberian ibubapa untuk memenuhi kehendak pasangan wanitanya. Ajak saja dinner, lunch, breakfast atau bershopping pasti si lelaki yang perlu mengeluarkan duit poketnya. Terdapat juga keadaan di mana si perempuan yang berbelanja si lelaki. Itu belum dikira dengan pembeliaan kad top-up handset yang out of control. Hanya kerana call untuk tanya khabar, dah makan ke belum, ada yang sanggup mentop up handset mereka beberapa kali dalam seminggu.


Cuba bayangkan jumlah wang perlu dibazirkan hanya untuk perkara yang sangat remeh dan tidak perlu. Paling menyedihkan, wang tersebut adalah pemberian keluarga yang seharusnya digunakan bagi tujuan pengajian. Begitu juga wang pinjaman PTPTN, ia adalah hutang yang perlu dibayar selepas tamat pengajian. Justeru, penggunaan kedua-dua jenis wang ini kepada perkara yang tidak wajar adalah tidak harus dan ditegah oleh syarak. Perbuatan membazir dan menyalahgunakan harta juga adalah amalan syaitan. (Rujuk Al-Israa ayat 27)




KELIMA : MEMBUANG MASA KEPADA PERKARA YANG TIDAK SEWAJARNYA

Seperkara yang wajar diprihatinkan di sini ialah penggunaan waktu kepada perkara yang tidak bermanfaat. Lebih malang lagi, masa yang amat terhad sebagai seorang mahasiswa telah diisi dengan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh Allah. Bukankah berdating, berbual telefon secara marathon dan lain-lain aktiviti rutin bercouple merupakan perbuatan yang menyimpang dari anjuran agama. Justeru setiap saat dan minit yang digunakan bagi tujuan tersebut akan dipersoal dan diperbicarakan di hadapan Allah.


Perlu diingat bahawa Islam bukan mengharamkan secara total perkara yang dinyatakan di atas. Islam tidak menghalang perbuatan tersebut, tetapi meletakkan beberapa prasyarat yang perlu dipenuhi. Sekiranya kita gagal mengikut syarat-syarat tersebut, maka status perbuatan tersebut menjadi HARAM serta menjauhkan diri pelaku daripada kasih sayang dan cinta Allah.
(Rujuk Kitab Al-Halal wal Haram Fil Islam, Dr. Yusuf Al-Qardhawi)

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

INTERAKSI MUSLIMAH

Dalam beramal jama'i, Islam tidak melarang interaksi antara muslim dan muslimah. Namun, tidak juga membebaskannya tanpa norma. Pada realiti kehidupan dapat dilihat ada dua masalah dalam berinteraksi. Pertama, pergaulan tanpa batas, sehingga menimbulkan berbagai-bagai permasalahan baik masalah peribadi mahu pun sosial. Akibat yang paling teruk adalah hilangnya kepekaan seorang muslim terhadap batas-batas pergaulan yang Islami dan terjerumus ke dalam kehinaan.


Kedua, muslimah terkongkong oleh pemahaman yang salah sehingga tidak mahu menyertai dalam beramal Islami bersama muslim yang lain. Akibatnya, berlakulah banyak masalah sosial yang tidak dapat diselesaikan, kerana lelaki muslim tidak efektif ketika mendalami urusan-urusan yang menyangkut kewanitaan. Hal ini kerana, banyak masalah wanita yang hanya boleh ditangani oleh wanita saja. Untuk menghindari adanya fitnah yang dapat merosakkan dalam beramal maka Islam memberikan bingkai interaksi muslim dan muslimah, di antaranya adalah :



1. Menundukkan pandangan

Menundukkan pandangan di sini bererti mengawal pandangan mata. Ini kerana pelbagai penyimpangan awalnya dari mata. Ada sebuah pepatah arab yang menggambarkan tentang hal ini :


Mulanya dari pandangan / Dari pandangan kemudian senyum / Kemudian cuba untuk berbicara / Setelah berbicara kemudian janji / Setelah itu bertemu..


Pandangan kepada lawan jenis yang tidak dihalalkan, bagaikan anak panah yang menembus daging. Jika sudah tertancap di hati, ketika berusaha dicabut akan melukai. Apa lagi anak panah yang beracun, bukan setakat luka tapi menjadi jangkitan. Nampaknya ianya akan meluas pada diri dan masyarakat, apa lagi apabila pemilik anak panah itu adalah iblis.


Dengan menahan pandangan seseorang akan terhindar dari penyakit hati. Ini merupakan tindakan untuk mencegah bagi menjaga kebersihan diri dan masyarakat. Maka ketika berinteraksi harus diperhatikan, jangan sampai kita melakukan amal kebaikan tetapi pada masa yang sama kita mendapat dosa.




2. Menutup Aurat

Menutup aurat adalah suatu kewajiban dalam Islam seperti halnya solat dan puasa pada bulan Ramadhan. Namun masih banyak yang belum memahami sehingga tanpa segan silu mendedahkan aurat di hadapan umum. Padahal Allah sudah memperingatkan dalam Surah An-Nur,


"… Dan janganlah mereka (wanita-wanita mukmin) menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya, dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya"


Syarat pakaian yang sesuai dengan syariat iaitu :-

  • Menutup seluruh badan selain yang dikecualikan, seperti muka dan kedua telapak tangan.

  • Tidak tipis dan tidak tembus pandang.

  • Tidak menyerupai pakaian laki-laki.

  • Lapang dan tidak sempit. Kerana pakaian yang sempit dapat memperlihatkan bentuk tubuh seluruhnya atau sebagian.

  • Tidak menyerupai pakaian orang kafir.




3. Tenang dan terhormat dalam gerak-geri

Tidak melakukan gerakan yang dibuat-buat sehingga menarik perhatian. Wanita muslimah tidak boleh memukul-mukul kakinya ke lantai untuk memperdengarkan perhiasan di kakinya. Allah memperingatkan dengan firmannya,


"Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang disembunyikan"
( An-Nur : 31)




4. Tidak berdua-duaan di tempat yang sepi (Ikhtilat)

Ikhtilat antara dua manusia yang berlainan jenis, merupakan faktor pendorong utama berbuat keji dan menjerumuskan manusia ke jurang kehinaan. Memberi peluang kepada syaitan untuk menggoda sebagaimana sabda Rasulullah SAW,


"Tiada berdua-duaan (berada di tempat sunyi) seorang lelaki dengan seorang perempuan, melainkan syaitan merupakan orang ketiga di antara mereka"
(Diriwayatkan Ahmad, Tirmidzi dan lain-lain)



5. Serius dan sopan dalam berbicara

Dalam berkomunikasi usahakan suara tidak dimanja-manjakan, misalnya menjadi lebih merdu dan lembut serta menggoda. Dalam hal ini Allah memberi tuntunan,

"Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara, sehingga timbul keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik"
(Al-Ahzab : 32)


Namun bukan bererti seorang wanita muslimah tidak boleh bersuara. Suara wanita bukan aurat. Kerana para isteri Rasulullah SAW pernah bercakap-cakap dengan para sahabat dan para sahabat mendengar (belajar) hukum-hukum agama dari mereka. Tapi ada juga ulama yang berpendapat suara wanita adalah aurat, kerana khuwatir terjadi fitnah sekalipun mendengar bacaan Al-Quran daripadanya.


Begitulah bingkai interaksi yang diberikan oleh Islam, agar manusia tidak dirugikan amalnya hanya kerana fitnah yang timbul ketika berinteraksi dengan muslim yang lain.


"Rabbanaa laa tuzigh quluubanaa ba'da idz hadaytanaa wahablanaa min ladunka rahmatan innaka antal wahhaab"

"Ya Allah.. Janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)" 


Walluhu a'alam.



Maroji' :

  1. Al-Qur'nul Karim dan terjemahannya
  2. Abdul Halim Abu Syuqqah, Kebebasan Wanita Jilid I
  3. Abdul Muiz, Ceramah Fiqqunnisa

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

AWAK TAHU TAK

Ada seorang hamba Allah perempuan ini. Dia adalah seorang bekas pelajar di sekolah agama. Dia seorang yang solehah, menjaga auratnya dan memakai tudung labuh. Dia juga rajin mengikuti usrah. Ditakdirkan Allah, dia dihantar belajar ke luar negara. Negara yang dia pergi, bukan pula negara orang Islam. Jurusannya bukan jurusan agama, tetapi Perubatan. Maka, dia diangkat menjadi orang yang dipercayai oleh pelajar yang seangkatan dengannya. Awal-awal, dia seorang yang komited dengan agama. Sering mengajak kawan-kawannya agar mengingati Allah, melaksanakan amanahNya, dan meninggalkan laranganNya. 


Satu hari, dia jatuh cinta dengan seorang lelaki yang bukan Islam. Lama kelamaan, dia meninggalkan peribadinya yang lama. Walaupun masih bertudung labuh, dia tidak lagi menjaga batas pergaulan. Sampai satu tahap, dia pernah tidur di dalam kereta berdua-duaan dengan lelaki tadi.



Apakah pandangan anda..?


Apa yang kita akan lakukan bila mengetahui perkara ini, bila melihat perkara ini, atau bila menjadi salah seorang daripada kawan-kawan kepada pelaku perkara ini..?


Kisah rekaan saya, tetapi situasinya merata-rata..


Saya reka cerita itu. Ini bermakna, saya tidak pernah melihatnya dengan mata kepala saya sendiri. Tetapi situasi yang sinonim seperti cerita saya di atas berlaku di banyak tempat. Tidak perlu tanya saya dari mana saya tahu, tetapi saya sekadar hendak kita menjawab, betul atau tidak.


Betul kan..?


Budak sekolah agama, lelaki ke, perempuan ke, dulu baik, tiba-tiba terjebak dengan sesuatu di luar lunas agama Allah. Perempuan tudung labuh, dulu jaga hubungan lelaki perempuan, tiba-tiba bercouple. Rakan kita yang nampak alim, tiba-tiba terdengar khabar dia berzina.


Ya, apa yang kita lakukan pada mereka-mereka ini..?


Biasanya, mereka dihina. Disisihkan.


"Cis, menyampah gila aku. Dulu baik bukan main. Sekarang, mengalahkan aku buruknya. Aku pun tak pernah berdating dengan perempuan tau"


"Aku tak sangka betul, dulu bukan main solehah. Ingatkan aku itu ini. Sekarang tup-tup keluar dengan mamat tu. Tak senonoh la. Hipokrit.."


"Tengoklah budak sekolah agama tu. Kata je belajar agama. Dulu bukan main lagi ceramah bagi dalil-dalil Al-Quran ingatkan orang. Sekarang, entah syurga dengan neraka pun tak kenal ke hapa.."



Dan 1001 macam lagi yang biasanya akan terlepas dari mulut kita. Atau paling tidak, terdetik di dalam hati.


"Kenapa..? Kenapa kita senang bersikap demikian..?"



Akhirnya, mereka yang dahulunya ala-ala ustaz ustazah harapan agama ini disisihkan kerana kemaksiatan dan keingkaran yang mereka lakukan di hadapan mata kita har ini. Mereka dikutuk, dihina, dikeji, dihentam-hentam. Dan 99%, semuanya dilakukan di belakang mereka.


Saya suka bertanya.


Siapa yang pernah pergi dan bersembang, berbincang, mendalami kenapa mereka berubah sedemikian rupa..? Tiada siapa menarik mereka. Kita selalu kata begini,


"Alah, pelajar agama, tak kan tak tahu.."


"Dia kan hafal 30 juzu' Al-Quran. Takkan la tak reti-reti lagi.."



Tetapi pada saya, ini satu prinsip yang membawa kepada sikap kita yang saya nyatakan di atas. Ya, secara tidak langsung, kita seakan-akan meletakkan taraf pelajar agama, orang yang mengikuti usrah, mereka yang bertudung labuh dan berkopiah ini di taraf MALAIKAT.


Sedangkan, mereka adalah MANUSIA.


Bila namanya manusia, pasti ada waktu kesilapannya. Dan kadangkala, silapnya boleh jadi lebih buruk dari kesilapan mereka yang tidak pernah pun sekolah agama. Tetapi inilah dia ujian Allah SWT.


Dengan prinsip kita di atas tadi, maka kita meninggalkannya. Kita tidak menegurnya. Kita nampak dia mula berubah ke arah kejahatan, kita menjauhinya kerana kita kata dia dah tahu, dia mesti dah faham serta sebagainya.


Kesilapan kita, adalah di sini.
Tiada siapa yang bergerak menarik mereka.


Sebagaimana kamu, mereka juga begitu, saya juga begitu. Bila kita melakukan kesilapan, kita senang untuk orang faham kenapa kita boleh tersilap. Kita tertipu ke, kita terjerat ke, kita memang betul-betul tak tahu kemudian terbiasa dengan kesilapan itu ke, dan 1001 sebab lagi. Jadi, bila orang hentam-hentam kita tanpa memahami, kita pastinya sakit hati.


Begitulah perasaannya mereka yang buat silap. Saya kira, kita sama dalam hal ini. Baik kamu, mereka, mahupun saya. Saya sendiri, amat benci manusia yang pakai hentam sahaja tanpa memahami. Kenal pun tidak, sudah menghentam macam dia tahu-tahu aja apa sebenarnya yang terjadi.


Jadi, apakah sikap kita..?


Pernahkah kita mendekati ‘pendosa-pendosa yang beragama’ ini, atau kita sekadar menghina kesilapan, ketersasaran mereka dari jauh sahaja..?


Mereka perlukan manusia yang memahami.


Kadangkala, ada something yang di luar jangkaan berlaku dalam hidup mereka ini. Sebab itu dari sebaik-baik manusia, boleh berubah sebegitu rupa. Kita yang biasa-biasa ni, melenting la. Kita terlupa bahawa dia rupanya manusia juga. Tidak ramai yang mampu bersabar. Sedangkan, keadaan ini hanya boleh dihadapi oleh mereka yang tenang dan rasional.


Siapa yang pergi mendekati mereka, memahami mereka, cuba mencungkil apa sebenarnya permasalahan mereka, kenapa mereka sampai boleh tersasar sedemikian rupa. Siapa..? Siapa yang berusaha sedemikian rupa..?


"Aku tegur dah dia.."



Ya la, tegur macam mana..? Tegur sekali pastu belah..? Tegur 10 kali lepas tu penat..?


Kadang-kadang, kita terlupa yang kita tak pernah pun bina 'jambatan hati' dengan mereka. Kita tak kenal mereka dalam erti kata sebenar. Kita dan dia tak pernah ada apa-apa perkongsian. Bila terjadi perkara sebegini, kita lebih senang menghentam. Tegur sekali dua, lepas tu kata tak ada harapan. Ajak masuk usrah balik semula dua tiga kali, kemudian kata dia dah tak dapat hidayah.


Ini masalah kita. Kemudian kita salahkan dia. Sebenarnya, kita pun sama. Berputus asa mengajak dia ke jalan Allah. Bila dia berdosa, tak kira la dia budak agama ke, ulama sekalipun, sepatutnya kita layani dia dengan baik. Tunjukkan dia jalan yang betul. Sejak bila seseorang itu bila dia jadi pelajar sekolah agama, dia ikut usrah, dia pernah berdakwah ajak orang buat baik, dia keluaran Al-Azhar ke hapa ke, bila jadi maksum..? Sejak bila pula, manusia-manusia ni, bila buat dosa, dibolehkan kita membiarkan mereka..?


Bukankah layanannya tetap sama dengan orang yang tidak pernah belajar agama, tidak pernah ikut usrah, tidak pernah berdakwah yang buat dosa..? Yakni tegur, dan pimpin mereka. Pimpin ya, pimpin. Fahami maksud perkataan pimpin. Mereka lebih baik. Kami bukan pelajar agama.


Satu lagi kesilapan kita, kita suka kata,


"Mereka budak agama. Aku bukan budak agama. Mereka pakai tudung labuh. Aku tudung tiga segi aja.."



Dan akhirnya, kita tinggalkan mereka. Ini kesilapan yang paling besar. Siapa la ajar penegur itu kena sempurna. Kita ni, menegur sambil memperbaiki diri. Kita budak agama ke, bukan budak agama ke, kalau sesuatu kita rasa patut tegur, walaupun teguran kita tu ala-ala menghentam diri sendiri, kena tegurlah juga.


Apa barang bhai main kutuk-kutuk belakang aja..?


"Dia kan budak agama, dia mesti faham.."



Kalau macam itu, budak agama mestilah malaikat semuanya. Tak akan ada buat salah. Ala, macam kita belajar la. Faham-faham pun, bukan dapat 100% dalam periksa. Betulkan..? Ada ke yang skor semua mata pelajaran dia 100% ..? Kalau ada pun, sekelompok kecil aja.


So, macam mana sekarang..?


Kena tegur la. Bergerak mendekati mereka ini. Fahami masalah mereka ini. Mana tahu, hati mereka meronta-ronta untuk kamu membantu mereka sebenarnya.


Penutup : Kita berdosa kalau sekadar membiarkan


Ya, kamu berdosa. Sebab mencegah kemungkaran itu adalah wajib.

"Saya mencegah dengan hati.."


Ha ha.. Ini alasan kamu nak bagi kan..?


Rasulullah SAW bersabda,


"Sekiranya kamu tidak mampu.."


Jadi, kalau ada kudrat, ada suara lagi, ada tenaga lagi, itu tandanya ‘mampu’ itu masih ada pada kamu. Maka, kamu berdosa kalau tidak menegurnya. Teknologi hari ini lagi la ada macam-macam. E-mail ada, facebook ada, Yahoo Messenger ada. Kalau nak pakai gaya zaman P.Ramlee pun boleh. Tulis surat.


Kemudian, tegur bukan sekali. Berkali-kali. Sampailah terjadi salah satu dari empat perkara. Apa dia..?


  1. Kamu mati.


  2. Dia mati.


  3. Matahari terbit dari barat.


  4. Dia berubah.



Selagi tak berlaku empat perkara ini, adalah tidak patut kita berputus asa dalam memberikan teguran. Kalau tak makan dengan plan A, kita bagi dia plan B. Kalau plan B dia tak boleh jugak, kita bagi dia plan C. Sampai la plan Z. Kalau tak boleh jugak, kita bagi dia plan AZ pula. Kalau tak boleh lagi, bagi plan BZ dan begitulah seterusnya. Sampai salah satu dari empat perkara tadi terjadi pada kita.


"Tapi dia budak agama.."



Kamu ulang lagi benda ni. Sudah-sudah. 


"Dia manusia juga.." Itu kata saya.



Ayuh, jangan cakap belakang sahaja.


Rapati dia, berikan nasihat. Laksanakan tanggungjawab kamu sebagai seseorang yang faham bahawa dia telah tersasar daripada Allah SWT. Sesungguhnya, menebarkan kebaikan itu adalah tanggungjawab orang yang beriman.


Tidak kira, kamu budak sekolah agama, atau bukan.

Terima Kasih Kerana Sudi Membaca Post Saya

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...